KUALA TERENGGANU: Orang ramai di daerah ini dinasihatkan agar tidak panik dengan berpusu-pusu ke pasar raya atau pasar untuk membeli barangan keperluan berikutan pengumuman sekatan pergerakan penuh (total lockdown).
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, tindakan bersesak-sesak itu bakal mengundang bahaya berikutan jarak dekat antara satu sama lain sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan Covid-10.
Sebaliknya, beliau menyarankan masyarakat agar merancang pembelian mengikut keperluan di samping mengunjungi premis yang tidak sesak.
“Tidak perlu membeli untuk keperluan sebulan, selepas lima hari misalnya boleh ke kedai lagi.
“Pembelian pada jumlah yang besar boleh mengganggu bekalan barangan jika masing-masing membeli dengan banyak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar raya di sekitar daerah ini dan Kuala Nerus mendapati orang ramai beratur hampir 100 meter sebelum dibenarkan memasuki premis perniagaan untuk membeli barangan keperluan.
Menurut Ahmad Amzad, dia sudah berhubung dengan Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia dan dimaklumkan bekalan barangan adalah mencukupi di samping harga yang terkawal.- UTUSAN ONLINE