LANGKAWI: Kebanyakan penduduk di penempatan haram di Bukit Malut di sini mendakwa mereka masih belum mendapat sebarang tawaran untuk dipindahkan ke tempat baharu di sekitar pulau ini.
Penduduk juga mendakwa masih tiada perbincangan rasmi dengan pihak kerajaan negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai proses perpindahan tersebut.
Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Hashim, 43, berkata, setakat ini, tiada pihak yang tampil untuk berbincang dengan penduduk mengenai tawaran tersebut.
Katanya, kebanyakan penduduk masih tertanya-tanya mengenai status pemindahan mereka kerana tiada pihak yang tampil memberi penerangan.
“Kalau betul hendak pindahkan kami, beritahulah betul-betul di mana kawasan yang disediakan itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Osman, 50, berkata, dia mengakui tidak mampu untuk membeli tanah atau rumah baharu sekiranya ditawarkan oleh kerajaan.
Malah, katanya, dia percaya ramai dalam kalangan penduduk di sini tidak mampu membeli tanah dan rumah baharu memandangkan kebanyakan mereka hidup miskin.
“Kebanyakan penduduk bekerja sebagai nelayan dan pendapatan mereka tidak seberapa, macam mana kami mampu membelinya.
“Tengok sendiri rumah kami, kebanyakannya rumah kecil dan hanya cukup-cukup untuk kami berteduh daripada panas dan hujan,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zakaria, 38, mengharapkan kawasan penempatan baharu yang disediakan untuk penduduk di sini berhampiran tepi laut.
“Kebanyakan kami bekerja sebagai nelayan dan sudah terbiasa tinggal di tepi laut, jadi kalau rumah baharu itu terlalu jauh, pastinya akan menimbulkan kesulitan kepada kami,” ujarnya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan pelan tindakan pemindahan penduduk di penempatan haram di Bukit Malut di sini telah siap untuk dilaksanakan oleh MKN dan Pejabat Daerah Langkawi.
Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi berkata, berdasarkan pelan tindakan itu, kerja-kerja pemindahan penduduk di kawasan berkenaan dijangka berjalan lancar apabila dilaksanakan nanti.
Sementara itu, akhbar ini sebelum ini juga melaporkan kerajaan negeri Kedah akan menyediakan kawasan baharu untuk memindahkan penduduk Bukit Malut tidak lama lagi, sekali gus menyelesaikan masalah penempatan haram di tepi laut itu yang berlarutan terlalu lama.
Lebih 10,000 warganegara Myanmar yang kebanyakannya telah memperoleh kerakyatan Malaysia dan memiliki MyKad mendiami kawasan penempatan haram itu. – UTUSAN