PETALING JAYA: Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini mengenai pakej bantuan terbaharu Pemerkasa Plus bernilai RM40 bilion susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun selama dua minggu mendapat perhatian bekas Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau mempertikaikan beberapa inisiatif yang terkandung dalam pakej bantuan tersebut termasuklah antaranya bayaran tambahan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
Kata beliau, Geran Khas Prihatin (GKP) bagi perniagaan kecil dan sederhana (PKS) ditambah RM500 sahaja.
“Saya juga rasa bahawa langkah kerajaan untuk menolak bayaran BPR bagi penerima GKP adalah tidak wajar dan tidak patut kerana mereka yang layak untuk menerima GKP juga perlu menanggung kerugian bisnes seperti masih perlu membayar sewa atau barang mentah yang terpaksa dibuang akibat tiba-tiba dilarang untuk berniaga, “ujarnya menerusi hantaran Facebooknya malam ini.
Najib berkata, kerugian tersebut sepatutnya tidak perlu ditanggung oleh penerima BPR yang tidak layak menerima GKP.
Kata beliau lagi, sebab itu, adalah tidak wajar untuk memutuskan bahawa penerima GKP juga tidak layak untuk menerima BPR.
Antara inisiatif dalam pakej tersebut adalah bantuan seperti GKP dan kadarnya ditambah sebanyak RM500 kepada RM1,500 yang memanfaatkan hampir satu juta PKS dan perusahaan mikro akan menerima RM1,000 pada pertengahan bulan Jun dan RM500 ringgit lagi akan disalurkan pada bulan Julai.
Selain itu beliau mempertikaikan kemudahan moratorium pinjaman tiga bulan pula yang masih bersasar, dan bukannya automatik, serta masih dikenakan faedah dan hanya untuk golongan B40.
Ini kerana menurut Najib, keuntungan bank meningkat begitu tinggi bagi suku pertama tahun ini berbanding suku tempoh yang sama tahun lalu .
Beliau percaya, institusi perbankan mampu memberi moratorium pukal secara automatik tanpa faedah atau diskaun 50 peratus faedah selama tiga bulan bagi golongan B40, M40 serta perniagaan kecil dan sederhana.
“Adakah golongan M40 dan PKS tak perlu moratorium pinjaman?, soalnya.
Turut mengecewakan Najib adalah pemberian diskaun sebanyak 10 peratus elektrik hanya kepada enam sektor terpilih iaitu pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.
Ini kerana katanya, rakyat yang terpaksa duduk di rumah sepanjang masa dan peniaga kecil tidak dapat satu sen pun diskaun penggunaan elektrik.
“Jadi, saya saran sekali lagi untuk kerajaan mengembalikan diskaun penggunaan elektrik sehingga 50 peratus seperti tahun lepas, ” ujarnya yang juga bekas Menteri Kewangan.
Langkah tersebut juga kata beliau akan sedikit sebanyak meredakan kadar inflasi yang sudah meningkat tahun ini.
Paling asasnya soal Najib lagi adakah pakej Pemerkasa Plus itu cukup untuk kebanyakan rakyat untuk menghadapi tempoh sekatan pergerakan penuh yang sekurang-kurangnya selama satu setengah bulan.
“Perlu tahu bahawa kerajaan sudah meminjam lebih RM100 bilion dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini tapi perbelanjaan fiskal iaitu perbelanjaan sebenar dibayar kerajaan bagi pakej Pemerkasa Plusi ini cuma RM5 bilion termasuk RM1 bilion yang diberi kepada Kementerian Kesihatan.
“Oleh itu , kerajaan masih ada ruang untuk lebih memberi bantuan bagi tempoh “Total” (tapi tak total sangat) lockdown.” ujarnya.
Pemerkasa Plus mengandungi tiga matlamat utama dan 12 inisiatif.
Untuk rekod kerajaan, sebelum ini mengumumkan lima pakej bantuan dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM340 bilion meliputi Prihatian (RM 250 bilion) Prihatin PKS (RM 10 bilion), Penjana (RM 35 bilion), Kita Prihatian (RM 10 bilion), Permai (RM 15 bilion) dan Pemerkasa sebanyak RM 20 bilion bagi menangani krisis penularan Covid-19 yang memanfaatkan lebih 20 juta isi rumah dan dua juta perniagaan. – UTUSAN ONLINE