IPOH: Polis Perak mula menggunakan pendekatan memeriksa kenderaan di plaza tol bagi mengesan individu yang cuba merentas negeri tanpa surat kebenaran dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, projek rintis itu dilihat dapat melancarkan aliran trafik sekali gus memudahkan perjalanan pengguna jalan raya.
Katanya, projek dengan kerjasama syarikat Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) itu akan bermula di Plaza Tol Ipoh Utara arah selatan sebelum diperluaskan ke plaza tol lain di negeri ini, mengikut keperluan.
“Melalui projek ini, anggota yang berada di tol akan bertanya kepada pengguna jalan raya surat kebenaran dan dokumen berkaitan sebelum mereka mengimbas kad Touch n Go.
“Jadi, apabila mereka imbas, kita boleh tahu mereka dari mana berdasarkan jumlah kadar tol yang dikenakan.
“Cara ini juga memudahkan perjalanan orang ramai tanpa perlu melalui dua pemeriksaan seperti sebelum ini iaitu di plaza tol dan di sekatan jalan raya (SJR) selepas plaza tol,” katanya ketika ditemui selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Ipoh Utara arah selatan di sini hari ini.
Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, sejak 1 Mei hingga semalam, terdapat 117 kenderaan yang diarah berpatah balik di SJR lebuh raya dan 30 lagi di SJR Jalan Persekutuan.
Katanya, sebanyak 12 kompaun telah dikeluarkan kepada mereka yang gagal mengemukakan surat permit rentas negeri selain diarahkan berpatah balik.
“Memang ada kenderaan cuba untuk rentas negeri dan masuk ke Perak tetapi kita arahkan mereka patah balik. Macam-macam alasan yang kita terima antaranya ziarah keluarga dan ibu bapa, tetapi kita tidak benarkan.
“Hanya alasan yang dibenarkan sahaja seperti hal kecemasan, kematian, ambil anak dari asrama atau pasangan jarak jauh, yang kita benarkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE