Pemberian TAHAP kepada kerajaan negeri ditingkatkan RM400 juta - Utusan Malaysia

Pemberian TAHAP kepada kerajaan negeri ditingkatkan RM400 juta

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan peruntukan di bawah Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP) kepada semua kerajaan negeri daripada RM350 juta kepada RM400 juta.

Persetujuan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama semua Menteri Besar dan Ketua Menteri, secara maya semalam.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, peningkatan peruntukan itu bagi tujuan membiayai aktiviti Ecological Fiscal Transfer sebagai insentif tambahan kepada kerajaan negeri untuk menjamin kelestarian biodiversiti negara.

“Kerajaan Persekutuan juga menyedari situasi kebanyakan kerajaan negeri yang berdepan keadaan sukar terutamanya dalam pengurusan kewangan negeri di saat pasca pandemik Covid-19.

“Dengan ini Kerajaan Persekutuan bersetuju meluluskan caruman kepada Kumpulan Wang Rizab Negeri berjumlah RM440 juta bagi membantu kerajaan negeri yang mengalami defisit untuk menguruskan hal ehwal kewangan dan melaksanakan projek pembangunan masing-masing,” katanya.

Majlis Kewangan Negara juga bersetuju supaya Garis Panduan Tatacara Penggunaan Pemberian MARRIS ditambah baik antaranya termasuk perluasan takrifan penyenggaraan jalan negeri.

Katanya, ia sebagai tanda prihatin Kerajaan Persekutuan terhadap keselamatan pengguna jalan raya.

“Oleh itu, keputusan ini diharapkan dapat memberi fleksibiliti kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan jalan mengikut keutamaan dan kesegeraan di negeri masing-masing seterusnya menjamin keselamatan rakyat terutamanya pengguna jalan raya,” katanya.

Menurut Kementerian Kewangan, Kerajaan Persekutuan turut menyedari kerajaan negeri mengalami pengurangan hasil pendapatan yang sangat drastik pasca Covid-19.

Oleh itu katanya, sejumlah RM260 juta diperuntukkan kepada kerajaan negeri bagi membantu negeri melaksanakan projek-projek berskala kecil di peringkat akar umbi.

Katanya, agihan pertama sebanyak RM60 juta telah disalurkan kepada negeri-negeri dengan had maksimum bagi setiap projek ditetapkan pada RM100,000 melalui kaedah cabut undi untuk memastikan pengagihan peruntukan dapat memanfaatkan kontraktor kecil bumiputera secara saksama.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sentiasa berada dalam tahap yang terbaik. Hasrat ini dimanifestasikan melalui peningkatan peruntukan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk pemberian kepada kerajaan negeri setiap tahun.

“Oleh demikian, besarlah harapan Kerajaan Persekutuan supaya pemberian-pemberian ini dimanfaatkan sepenuhnya kerajaan negeri terutamanya dalam memastikan kebajikan serta
kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya