PUTRAJAYA: Sebarang keputusan kerajaan bagi pembelian vaksin melalui perjanjian dengan badan antarabangsa tidak tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
Ini meliputi Akta Biokeselamatan 2007 yang mengawal aktiviti berkaitan Organisma Diubah Hidup (LMO) serta produk melindungi manusia, tumbuhan, haiwan, alam dan kepelbagaian.
“Akta ini diselia oleh Lembaga Biokeselamatan Nasional (NBB) yang diputuskan secara telus malah melibatkan penyertaan pihak awam,” kata kementerian itu menerusi kenyataan hari ini.
Ia merujuk tuduhan bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim melalui artikel disiarkan sebuah portal tempatan pada 22 Mei lalu yang bertajuk ‘Use Emergency To Speed Up Vaccine Purchases’.
Beliau mendakwa program imunisasi negara sebagai perlahan kononnya disebabkan daripada akta itu yang lambat membuat keputusan pembelian vaksin Covid-19.
Dakwaan liar itu dinafikan kementerian tersebut sebagai tidak benar kerana isu urusan pemerolehan bekalan vaksin berasaskan LMO tidak memerlukan kelulusan akta tersebut.
“Ini jelas dinyatakan di bawah peraturan akta itu bahawa produk farmaseutikal yang dimeterai agensi antarabangsa dikecualikan dan bukan di bawah Jabatan Biokeselamatan,” katanya.
Justeru kenyataan tersebut menambah, keputusan menurut akta berkenaan ditetapkan NBB yang menerima nasihat teknikal dan saintifik daripada sebuah jawatankuasa khas sedia ada.
Ia dikenali sebagai Jawatankuasa Penasihat Pengubahan Genetik (GMAC) dan bukannya Jawatankuasa Bertindak Pengubahan Genetik dengan akronim sama seperti didakwa Zaid.
Bagaimanapun kenyataan kementerian itu menegaskan, GMAC tidak mempunyai kuasa bagi membuat keputusan atau memberi kelulusan seperti ditetapkan di bawah akta berkenaan.
Sebaliknya, NBB yang memutuskan berdasarkan saranan panel GMAC, konsultasi daripada mana-mana agensi kerajaan dan input daripada pihak awam yang ada bidang kepakaran.
“Kelulusan atau penolakan oleh negara tertentu juga akan dinilai sebagai pertimbangan tetapi keputusan akhir berpandukan keperluan tempatan dan sejajar objektif akta itu,” katanya.
Kementerian itu namun memberi jaminan bahawa kerajaan pada masa yang sama tidak berkompromi dalam melindungi manusia, haiwan, alam dan kepelbagaian biologi setempat.
Kenyataan tersebut turut menasihatkan Zaid supaya lebih berhati-hati dalam penulisan berkaitan fakta kerana dibimbangi maklumat salah ditularkan beliau akan memberi impak serius.
Orang awam yang berhasrat mendapatkan maklumat lanjut berhubung Akta Biokeselamatan 2007 selain Jabatan Biokeselamatan serta GMAC dan NBB boleh menelusuri laman sesawang www.biosafety.gov.my -UTUSAN ONLINE