MELAKA: Negara bakal mengharungi tempoh sekatan pergerakan penuh (total lockdown) sektor sosial dan ekonom Fasa Pertama selama dua minggui sama seperti apa yang berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 Mac tahun lalu.
Maka tidak hairanlah berlaku pembelian panik di beberapa tempat meskipun pasar raya dan kedai-kedai menjual barangan keperluan harian tetap dibuka di bawah perkhidmatan perlu.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pasaraya Mydin MITC, Ayer Keroh di sini pada pukul 12 tengah hari mendapati, orang ramai telah beratur panjang sehingga di luar bangunan untuk menunggu giliran masuk ke dalam pasar raya berkenaan.
Bagaimanapun, barisan itu bergerak dengan lancar tanpa pelanggan perlu berdiri lama, malah beberapa petugas Mydin turut membantu pelanggan mengimbas kod MySejahtera sebelum tiba di pintu masuk.
Di situ, hanya seramai 600 sehingga 800 pelanggan sahaja dibenarkan masuk untuk membeli-belah dalam satu-satu masa.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pengehadan itu dibuat bagi memastikan pasar raya tidak sesak sehingga berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Jelasnya, pelanggan didapati mulai beratur di hadapan pintu masuk seawal pukul 7.30 pagi lagi untuk membeli barang keperluan masing-masing.
“Kapasiti pasar raya ini boleh mencecah sehingga 800 pelanggan, namun kita cuba kurangkan kepada 600 orang sahaja dalam satu-satu masa untuk mengawal keadaan agar tidak terlalu sesak.
“Saya ingin memaklumkan kepada pelanggan supaya tidak perlu melakukan pembelian panik kerana pihak kami jamin, bekalan barangan mencukupi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, pelanggan disarankan untuk membeli barangan pada hari pelaksanaan iaitu 1 Jun ini dengan pergerakan umum yang lebih terhad, sekali gus menjamin pematuhan SOP.
ORANG ramai sudah beratur seawal pukul 7.30 pagi bagi membeli keperluan harian di Pasaraya Mydin MITC, Ayer Keroh, Melaka. -UTUSAN ONLINE