ALOR SETAR: Langkah untuk membenarkan pelajar tingkatan empat dan lima yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kembali ke sekolah belum sesuai dilaksanakan ketika jumlah kes Covid-19 semakin meningkat ketika ini.
Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kuala Kedah, Amirul Syahir Musa berkata, pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang sedang berlangsung kini lebih menjamin keselamatan para pelajar dan guru.
Menurutnya, jumlah pelajar tingkatan empat, lima dan enam yang ramai sudah tentu mendatangkan kebimbangan terhadap kemungkinan jangkitan Covid-19.
Pada masa sama, katanya, pelajar yang bergejala dan pembawa Covid-18 juga sukar dikenal pasti dan dikesan.
“Justeru langkah kerajaan untuk melaksanakan PdPR adalah sesuatu yang sangat baik demi memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar berada di tahap terbaik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Azman Khamis mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan kebenaran kepada pelajar tingkatan empat dan lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajara Malaysia (SPM) ke sekolah sekiranya PdPR dilanjutkan hingga Ogos.
Menurut Kamarul Azman, langkah itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan jumlah pelajar yang ramai di sekolah dengan pelajar tingkatan satu dan tiga boleh meneruskan sesi PdPR.
Amirul Syahir menambah, kerajaan dalam masa sama diminta untuk mencari jalan bagi memastikan PdPR dapat dilaksanakan dengan lebih efektif demi kebaikan semua pihak.
“Kerajaan boleh memikirkan kaedah yang lain, tetapi buat masa ini diharapkan agar sekolah tidak dibuka selagi kes Covid-19 kian meninggi dan kematian semakin meningkat.
“Diharapkan sekolah sama sekali tidak dibuka buat masa ini hingga keadaan kembali stabil seperti sebelum ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE