Pejuang, MUDA gesa darurat tamat, Parlimen dibuka - Utusan Malaysia

Pejuang, MUDA gesa darurat tamat, Parlimen dibuka

MUKHRIZ Mahathir bersama para pemimpin Pejuang, Muda, Amanah dan Dap keluar selepas memberikan keterangan polis berikutan #BukaPuasaBukaParlimen enam tuntutan kepada kerajaan Perikatan Nasional di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Parti Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak menamatkan darurat sekali gus Parlimen dibuka bagi memberi peluang ahli-ahli Parlimen bersidang dalam membincangkan jalan penyelesaian bagi mengatasi peningkatan kes Covid-19 yang membimbangkan.

Mukhriz berkata, beliau percaya pembukaan semula Dewan Rakyat adalah salah satu langkah perlu diambil ketika ini memandangkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dilaksanakan di Parlimen.

Ujar beliau, malah darurat yang dilaksanakan ketika ini dilihat tidak berjaya dalam mengekang penularan Covid-19.

“Kebanyakan ahli-ahli Parlimen juga telah mendapat suntikan vaksin, malah, SOP ketat dilaksanakan jika Parlimen dibuka. Langkah ini perlu diambil bagi semua ahli membincangkan apa perlu dilakukan dalam situasi sekarang dengan kes yang semakin meningkat.

“Kalau sekolah boleh dibuka sebelum ini, mengapa tidak Parlimen? Ini alasan semata-mata untuk mengekalkan kedudukan,” katanya kepada pemberita selepas selesai diambil keterangan di Ibu pejabat Polis (IPD) Dang Wangi dekat sini semalam.

Mukhriz antara lapan individu yang dipanggil polis untuk dirakam percakapan di IPD Dang Wangi dekat sini kira- kira pukul 1 petang.

Turut dipanggil adalah Setiausaha Agung Muda, Amir Hairiri Abd. Hadi; Pengerusi Penjuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh; Sheikh Omar Ali; ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei; Ketua Pemuda Amanah Wilayan Persekutuan, Asmaalif Abdul Adam, AJK Pusat Parti Sosialis Malaysia, Sharan Raj dan Tharma Pillai.

Dalam pada itu, Amir Hariri berkata, mereka diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana berhimpun tanpa kebenaran.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih berpegang terhadap pendirian untuk menggesa kerajaan membuka Parlimen bagi membolehkan ahli-ahli Parlimen bersidang semua untuk membincangkan situasi Covid-19 selain masalah dialami rakyat.

“Darurat dilaksanakan bagi mengatasi Covid-19 namun apa yang berlaku jumlah kes semakin meningkat.

“Kita dalam keadaan tenat, hampir satu juta yang kehilangan kerja, ribuan kes bunuh diri dicatatkan malah peniaga kecil menderita.

“Perkara ini perlu dibincangkan dalam Parlimen. Tamatkan daruratkan, bahaskan isu dan peruntukan-peruntukan yang ada,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya