PDRM lumpuh sindiket edar dadah dalam alat pemadam api - Utusan Malaysia

PDRM lumpuh sindiket edar dadah dalam alat pemadam api

ALAT pemadam api yang diubahsuai untuk menyembunyikan dadah bagi dibawa keluar ke negara jiran di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kegiatan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan alat pemadam api untuk dibawa ke negara jiran dilumpuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hasil kerjasama Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura.

Dalam sembilan serbuan berasingan yang dilakukan di sekitar Johor Bahru bermula pukul 1.20 petang, polis menahan sembilan suspek dan merampas 14 kilogram dadah pelbagai jenis bernilai RM215,283.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi khas yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Johor menahan kesemua suspek termasuk seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berusia 26 hingga 40 tahun.

“Modus operandi kegiatan sindiket yang baru sahaja beroperasi sejak tiga bulan lalu adalah dengan menyeludup dadah di dalam alat pemadam api bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Alat pemadam api berisi dadah itu akan dibawa menggunakan lori ais masuk ke negara jiran.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 7.1 kilogram dadah jenis ganja, 4.5 kilogram dadah jenis syabu dan 3.1 kilogram dadah jenis heroin dengan nilai keseluruhan ialah RM215,283,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ayob Khan berkata, turut dirampas adalah lapan buah kereta, wang tunai berjumlah RM1,200 dan pelbagai jenis barang kemas dengan nilai keseluruhan sitaan ialah RM184,893.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Tambahnya, semakan rekod yang dibuat mendapati tiga daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 6 Jun untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya