Patuhi SOP untuk Melaka kekal PKPP - Utusan Malaysia

Patuhi SOP untuk Melaka kekal PKPP

SULAIMAN Md. Ali (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan Ramadan kepada salah seorang penerima, Suhaila Mahad (berkerusi roda) sambil diperhatikan Abu Bakar Mohd. Diah (dua dari kiri) dan Mohamad Ali Mohamad di Japerun Klebang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Umat Islam di negeri ini dinasihatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi mengekalkan Melaka terus diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, tempoh tiga hari bermula 1 hingga 3 Syawal iaitu kebenaran ziarah hari raya yang diberikan bagi negeri-negeri di bawah PKPP wajar dipatuhi oleh semua.

“Saya cukup bimbang jika Melaka dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah
Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tetapi, mujurlah kita masih di bawah PKPP.

“Ini bermakna seluruh umat Islam di negeri ini boleh rentas daerah selain menunaikan solat sunat Aidilfitri sama ada di surau atau masjid, menziarahi kubur dan buat kunjungan rumah ke rumah dengan had seramai 25 orang sahaja.

“Justeru, saya amat berharap seluruh rakyat yang akan menyambut Aidilfitri nanti tolong patuh SOP yang ditetapkan, jika tidak, Melaka mungkin kembali ke PKP atau PKPB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan Parlimen Tangga Batu di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Klebang dekat sini, semalam.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Timbalannya, Datuk Abu Bakar Mohd. Diah.

Seramai 120 penerima sumbangan tersebut terdiri daripada fakir miskin, anak-anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal.

Dalam pada itu, Sulaiman turut mengingatkan agar surau dan masjid mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Dalam pada itu, beliau juga meminta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri ini untuk meninjau dan bertanya khabar kepada golongan warga emas, ibu bapa atau mereka yang tinggal berseorangan sewaktu sambutan Syawal nanti.

“Mereka ini menyambut Aidilfitri tanpa anak-anak yang tidak dapat pulang ke kampung disebabkan larangan rentas negeri oleh kerajaan. Saya minta wakil daripada JPKK jengah mereka-mereka ini dan bertanya khabar,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN