KOTA BHARU: Kebanyakan pasar raya di pusat bandar ini diserbu orang ramai hari ini, susulan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau total lockdown fasa pertama di seluruh negara pada Selasa ini.
Tinjauan mendapati kesesakan bermula di tempat letak kenderaan lagi, sebelum orang ramai perlu berbaris panjang untuk menunggu giliran sebelum dibenarkan memasuki premis.
Pengurus Econsave Pantai Timur, Toh Sharin ketika ditemui berkata, sebaik sahaja pihaknya beroperasi pukul 9 pagi, orang ramai menyerbu pasar raya itu untuk membuat pembelian panik namun jumlahnya berkurangan menjelang tengah hari.
Menurutnya, walaupun turut ‘panik’ melihat situasi itu, pihak pengurusan telah mengambil langkah berjaga-jaga sebagaimana disarankan kerajaan bagi mengelak orang ramai bersesak-sesak sehingga menjadi tidak terkawal.
“Kehadiran pembeli hari ini melebihi jumlah sebelumnya dan sudah kami jangkakan selepas pengumuman kerajaan untuk melaksanakan total lockdown. Jadi hari ini kami mengawal jumlah kemasukan pelanggan berdasarkan nombor giliran.
“Pelanggan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu tidak boleh berada di dalam pasar raya lebih dua jam dan perlu lakukan penjarakan fizikal manakala warga emas 60 tahun ke atas dan kanak-kanak tidak dibenarkan masuk,” katanya.
Toh Sharin berkata, Econsave di Kubang Kerian turut menawarkan perkhidmatan pembelian atas talian manakala sepanjang tempoh total lockdown nanti, pesanan juga boleh dibuat dengan menghubungi talian 0169133055 bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Sementara itu, keadaan di Tesco Kota Bharu dan Aeon Mall Kota Bharu di Lembah Sireh, di sini juga dilihat terkawal biarpun orang ramai berbaris panjang untuk memasuki kedua-dua premis berkenaan.
Kerani syarikat swasta, Khor Yee Zhen, 36, berkata, walaupun total lockdown hanya akan bermula 1 Jun, dia berusaha mendapatkan barangan keperluan khususnya makanan dan susu khas untuk ibunya hari ini kerana bimbang kehabisan bekalan.
“Berdasarkan pengalaman PKP penuh Mac tahun lalu, kami berdepan kesukaran mencari susu khas warga emas untuk ibu saya kerana semua lokasi kehabisan stok. Jadi kami kena cari juga sebelum terputus bekalan,” katanya.- UTUSAN ONLINE