'Pasal apa nak lari? Sama sahaja!' - Utusan Malaysia

‘Pasal apa nak lari? Sama sahaja!’

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menempelak sikap buruk segelintir cuba ‘lari’ balik ke kampung halaman sebelum perintah berkurung bermula 1 Jun ini.

Sambil menyifatkan tindakan mereka itu sebagai agek pelik dan lucu, beliau berkata bahawa pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) kali ini agak menyeluruh malahan melibatkan seluruh negara.

 “Dia nak lari ke mana? Pasal apa nak lari?” soal beliau dalam nada tersenyum apabila ditanya keadaan lebuh raya utama ke negeri-negeri Pantai Timur yang sesak teruk sejak pagi tadi.

 Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pelaksanaan Total Lockdown Fasa Pertama sebelum meninjau persiapan bilik gerakan di sini.

 Juga hadir ialah Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan semua ketua agensi terlibat.       

 Hari ini, para pengguna media sosial tempatan berkongsi situasi kesesakan agak luar biasa di beberapa plaza tol lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju keluar ke Pantai Timur.   

 Mengulas lanjut, Hamzah berkata, perintah berkurung penuh selama 14 hari bermula Selasa depan tidak terhad di Lembah Klang sahaja bahkan meliputi semua negeri di negara ini.

 “Dia lari ke mana pun tetap sama juga ada polis yang kawal di sana… sebagai contoh dia tidak mahu lihat muka polis di Gombak dan pergi Larut, pun sama juga polis di situ,” katanya.

 Justeru, beliau menasihatkan rakyat negara ini lebih baik duduk di rumah sendiri jika tiada keperluan dan membantu kerajaan dalam mengawal penularan wabak Covid-19 ketika ini.

 Rakyat ujarnya, perlu berdisiplin mematuhi kawalan kendiri ditetapkan kerana itulah perkara terbaik mengurangkan kadar kebolehjangkitan pandemik berkenaan yang agak kritikal.

 Pada masa sama, beliau memberi amaran bahawa pihak polis akan mengawal ketat semua laluan tikus bagi memastikan tiada individu tidak bertanggungjawab merentas kawasan.

 Menyentuh senarai sektor yang dibenarkan merentas kawasan, Hamzah berkata, ia akan diputuskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam masa terdekat.

 “Saya difahamkan, Menteri Kanan Keselamatan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) juga akan mengumumkan senarai yang dibolehkan merentas untuk rujukan orang awam,” tegasnya.- UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya