GEORGETOWN: Pas Pulau Pinang menggerakkan Kempen Kutipan #Aid4Palestin bagi membantu perjuangan rakyat Palestin dalam menentang rejim Zionis Israel.
Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, Pas Pulau Pinang menyokong penuh saranan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai usaha untuk menggerakkan kempen kesedaran rakyat terhadap perjuangan rakyat Palestin menentang rejim pengganas Zionis.
“Pas dengan segera menyelaraskan kutipan dana #Aid4Palestine melalui kaedah dana daripada orang ramai untuk mencapai sasaran bantuan minimum RM1 juta.
“Semoga dengan usaha ini dapat membantu agenda perjuangan rakyat Palestin dalam menentang rejim Zionis Israel,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehingga kini, seramai 197 penduduk Palestin maut termasuk 58 kanak-kanak dan lebih 2,000 cedera akibat serangan rejim Zionis terhadap Palestin.
Menurut Muhammad Fauzi, selain kutipan dana pihaknya juga telah mengarahkan ahli Pas untuk mengibarkan bendera Palestin di semua premis dan bangunan Pas di negeri ini sebagai tanda solidariti.
“Semua pihak juga perlu mengamalkan membaca doa Qunut Nazilah dalam setiap solat untuk memohon pertolongan Allah SWT,” katanya.
Tambah beliau, intifada perjuangan di bumi Palestin adalah lambang kesatuan dan kebangkitan umat Islam yang merentasi batas agama, bangsa dan negara demi membela hak dan keadilan rakyat Palestin. -UTUSAN ONLINE