JOHOR BAHRU: Panggilan video dari Seoul, Korea Selatan menjadi pengubat rindu buat seorang mahasiswa di sebuah universiti di negara itu terhadap kedua-dua ibu bapanya di tanah air.
Megat Muhammad Fahmee Epindi, 22, yang menuntut di Universiti Hanyang sepatutnya pulang ke Malaysia pada Jun ini, namun, terpaksa membatalkan hasrat itu ekoran kes Covid-19 yang masih menular di negara ini.
Sejak memasuki universiti berkenaan pada 2018, Megat Muhammad Fahmee sehingga kini tidak pernah dapat berhari raya bersama keluarga di Kampung Melayu Majidee, di sini.
“Hanya panggilan video yang saya dapat lakukan buat masa ini untuk bertanya khabar, melepaskan rindu kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.
“Jadi, untuk tahun ini, saya sekali lagi akan menyambut raya di Seoul bersama rakan-rakan lain yang turut tidak pulang ke tanah air disebabkan pandemik Covid-19,” katanya menerusi panggilan video tersebut di sini, hari ini.
Justeru, Megat Muhammad Fahmee yang menyambung pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat itu berdoa agar Covid-19 dapat berakhir segera untuk dia pulang ke Malaysia bertemu keluarga tercinta.
Sementara itu, ibunya, Raja Kamariah Ali, 51, berkata, kali terakhir mereka bersua muka secara realiti hanya pada April tahun lalu ketika dia pulang bercuti sebelum berangkat semula ke negara tersebut ketika negara masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya hanya berdoa dia dapat belajar di sana dengan tenang, siapa sahaja tetap mahu anak-anak berhari raya bersama-sama di rumah tetapi dengan keadaan semasa di samping tugas dia sebagai pelajar, kita perlu berkorban.
“Tidak mengapa, kerana melalui panggilan video kami kerap boleh bertemu walaupun hanya di sebalik skrin komputer, itu sudah memadai untuk saya tahu dia dalam keadaan sihat di negara orang,” katanya.
Suaminya, Epindi Husin 51, pula berdoa agar Megat Muhammad Fahmee terus fokus kepada pelajaran dan dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang tidak lama lagi. -UTUSAN ONLINE