MELAKA: Membeli makanan dengan cara pandu lalu menjadi taktik paling popular diguna pakai oleh ‘geng plastik hitam’ dan peniaga tidak bertanggungjawab yang menjual kepada individu tidak berpuasa di negeri ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Shukri Che Mat berkata, kaedah pembayaran pula telah dilakukan terlebih dahulu secara dalam talian bagi mengelak kegiatan tidak bermoral itu dihidu masyarakat dan pihak berkuasa.
Beliau berkata, para peniaga yang terlibat juga dilihat amat berhati-hati ketika berurusan yang mana hanya menjual kepada mereka yang sudahpun dikenali.
“Pihak kita telah melakukan penyamaran untuk beli makanan secara pandu lalu, mereka dapat kesan dan mengelak untuk menjual.
“Tetapi kalau orang yang dah biasa, mereka akan jual. Ada di antara yang ditangkap sudah berusia 65 tahun. Dalam tempoh Ramadan berbaki beberapa hari, operasi akan tetap diteruskan untuk mengekang aktiviti salah sebegini,” katanya ketika sidang akhbar selepas melakukan operasi di sekitar daerah Melaka Tengah di sini hari ini.
Che Shukri menambah, bermula 1 Ramadan sehingga 18 Ramadan iaitu 30 April lalu, JAIM telah melaksanakan 32 operasi di tiga daerah iaitu di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
Katanya, hasilnya 399 lokasi dan premis yang disyaki telah diperiksa dan sebanyak 39 kes diambil tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
“Kesemua yang disyaki berusia di antara 20 hingga 65 tahun. Mereka ini diminta hadir ke pejabat JAIM di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 untuk siasatan lanjut.
“Kita bukan terus mandatori, kita gunakan kaedah lebih kepada berhikmah. Kita panggil ke pejabat untuk bincang apa sebab mereka ini tidak mahu berpuasa,” jelasnya.