JASIN: Tindakan selamba seorang lelaki membeli barang sambil memakai gelang pengawasan di sebuah kedai serbaneka di Taman Kesang Indah di sini membawa padah, apabila sepasukan polis mencarinya sehingga ke rumah hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, pekerja wanita kedai terbabit yang cemas sempat merakamkan gambar lelaki berusia 50-an tersebut dan kereta dinaikinya sebelum membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Mispani Hamdan berkata, laporan polis telah dibuat oleh wanita berusia 35 tahun itu pada pukul 11.34 pagi.
“Bilik Gerakan Covid-19 Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jasin telah berhubung dengan pihak pegawai kesihatan daerah dan sepasukan pegawai penyiasat termasuk seorang pegawai polis telah mencari individu terbabit sehingga ke rumahnya.
“Siasatan sedang dilakukan untuk tindakan kompaun di bawah Seksyen 15 (1) iaitu Ingkar Pemerhatian dan Pengawasan Kontak, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengadu mendakwa hanya menyedari lelaki terbabit memakai gelang merah jambu selepas dia selesai membeli barangan.
“Selepas lelaki terbabit ingin beredar dari premis, pengadu ternampak di pergelangan tangan kanannya ada memakai gelang bewarna merah jambu dan disyaki sedang menjalani kuarantin.
“Dia kemudian telah merakamkan gambar lelakI tersebut bersama kenderaannya,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE