KEPALA BATAS: Unit Rawatan Rapi Medan (Field) ICU di Hospital Kepala Batas (HKB) di sini yang sepatutnya menerima kumpulan pesakit pertama hari ini terpaksa ditangguhkan dan dijangka hanya boleh beroperasi selewat-lewatnya Jumaat ini.
Pegawai Memerintah Batalion Kedua Perubatan, Leftenan Kolonel Dr. Mohd. Zamri Derahman berkata, penangguhan itu dibuat kerana Field ICU tersebut tidak memenuhi piawaian ditetapkan bomba terutama dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Sehubungan itu, katanya, satu sesi ujian atau ‘dry run’ penuh serta latihan kebakaran akan dibuat semula, hari ini.
“Sesi ‘dry run’ dan latihan kebakaran itu sebenarnya kita telah buat semalam, namun, tidak memadai kerana bomba telah menetapkan satu SOP keselamatan yang sangat tinggi serta ketat perlu dicapai terlebih dahulu sebelum Field ICU ini boleh beroperasi sepenuhnya bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan baik dan selamat.
“Jadi, sesi itu akan dibuat semula hari ini dengan memastikan semua petugas yang berkaitan memakai PPE (peralatan perlindungan peribadi) yang lengkap supaya mendapat kelulusan yang sepatutnya untuk beroperasi, ” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Field ICU itu, di sini hari ini.
Ketika ini, sebanyak 27 buah katil telah ditempatkan di tiga daripada empat buah kontena serta beberapa khemah khas yang terdapat di situ dengan kekuatan anggota operasi seramai lima pegawai serta 30 anggota perubatan.
Selain Field ICU yang dibina di Pulau Pinang, hospital medan juga telah dibina di tiga buah negeri lain ketika ini iaitu Sabah, Sarawak dan Kedah.
Dalam pada itu kata Dr. Mohd. Zamri, secara keseluruhannya sebanyak 14 buah khemah termasuk beberapa khemah tambahan baharu telah dipasang di Zon Merah dan Zon Hijau di Field ICU itu.
Sebelum ini, kerja-kerja pemasangan Field ICU itu bermula 18 Mei lalu dengan bantuan khidmat nasihat teknikal daripada Cawangan Kesihatan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia. -UTUSAN ONLINE