KUALA TERENGGANU: Seramai 11,975 individu di 1,257 premis perniagaan di seluruh negara diperiksa sepanjang lima hari pelaksanaan operasi had dua jam (Op Had 2J) bagi memantau dan memastikan pematuhan had masa pelanggan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, hasil pemeriksaan mendapati tahap pematuhan standard operasi prosedur (SOP) dalam kalangan masyarakat adalah sangat baik dan tiada sebarang kompaun dikeluarkan sejak operasi itu dilancarkan pada 25 Mei lalu.
“Kita sangat gembira dengan pematuhan orang ramai terhadap SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkaitan had masa dua jam di sesebuah premis seperti pusat beli-belah dan pasar raya.
“Ini menunjukkan masyarakat sebenarnya memahami dan mendengar kata mengenai usaha kerajaan melawan penularan Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas meninjau bekalan barangan keperluan di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Bagaimanapun Rosol berkata, Op Had 2J itu kini ditangguhkan buat sementara waktu berikutan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) yang bermula esok.
Dalam perkembangan sama, katanya, seramai 160 peruncit dan pemborong terpilih di negeri ini diberikan kebenaran menyimpan barang kawalan melebihi 20 peratus daripada had simpanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan sekatan pergerakan penuh.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana bekalan barangan keperluan asas di semua sektor peruncitan di Terengganu dijamin mencukupi berdasarkan pemantauan.
“Premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit masih beroperasi seperti biasa, jadi bekalan barangan mencukupi dan orang ramai tidak perlu membuat pembelian panik,” katanya.- UTUSAN ONLINE