JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menerusi kaedah nyamuk yang disuntik bakteria Wolbachia bagi mengatasi peningkatan wabak denggi di bandar raya ini.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud berkata, langkah itu merupakan inisiatif pihaknya bagi mengawal peningkatan kes denggi dalam kalangan penduduk.
Menurutnya, Johor Bahru menyumbang lebih 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kes denggi di negeri ini khususnya dalam kawasan pentadbiran MBJB.
“Pelbagai program pencegahan dan kawalan denggi telah dilaksanakan mengikut strategi yang terkandung dalam pelan tindakan denggi MBJB, namun jumlah kes denggi terus meningkat setiap tahun.
“Objektif penggunaan nyamuk Wolbachia ini untuk menggantikan populasi nyamuk liar yang membawa virus denggi dengan populasi yang tidak dapat menyebarkan virus denggi, zika atau chikungunya kepada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Adib Azhari, kaedah Wolbachia itu lebih selamat dan telah digunakan di sembilan negara untuk mengurangkan penularan penyakit bawaan nyamuk.
“Bagi memastikan kaedah ini berjaya, MBJB dan JKNJ telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada 4 Mei lalu dalam pelaksanaan kawalan vektor menggunakan kaedah nyamuk Wolbachia.
“MBJB membantu JKNJ membaik pulih dan menaik taraf makmal insektorium JKNJ sedia ada sejak Ogos tahun lalu dengan kerja di tapak telah disiapkan dalam masa empat bulan melibatkan kos RM328,050,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, MBJB akan tetap meneruskan perkhidmatan seperti biasa sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh berkuat kuasa.
“Kita meminta kepada warga bandar raya ini untuk menggunakan aplikasi dalam talian MBJB yang disediakan bagi memudahkan urusan tanpa perlu hadir di kaunter.
“Namun, beberapa premis MBJB seperti Perpustakaan Sultan Ismail MBJB, Galeri MBJB di Bangunan Pusat Maklumat Pelancongan Johor (Jotic), Dataran Bandaraya Johor Bahru serta taman-taman awam ditutup sementara,” katanya.