Neelofa, Muhammad Haris selesai beri keterangan - Utusan Malaysia

Neelofa, Muhammad Haris selesai beri keterangan

IPD Nilai di Nilai, Seremban lokasi Neelofa dan Muhammad Haris memberikan keterangan berhubung siasatan terhadap dakwaan kedua-dua mereka melanggar SOP dan merentas negeri ke Nilai 3, Nilai, Seremban pada Ahad lalu.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selebriti dan usahawan, Noor Neelofa Mohd. Nor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd. Ismail telah diambil keterangan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada pukul 2.30 petang tadi.

Keterangan mereka diambil selama lebih empat jam dan selesai kira-kira pukul 6.45 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab Rahman berkata, keterangan tersebut adalah berkaitan penularan gambar dan video dalam media sosial berkaitan pasangan tersebut yang berada di sebuah premis menjual karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai dekat sini.

“Selain itu, keterangan pemilik premis serta pembantu kedai karpet turut dirakamkan. Kertas siasatan akan dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwa Raya setelah beberapa tindakan dikemas kini.

“Pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak mensensasikan fakta isu ini dan terus kekal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) demi menjaga kesejahteraan dan keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Neelofa terpalit sekali lagi dengan kontroversi apabila didakwa melanggar SOP dengan merentas negeri ke Nilai dekat sini pada Ahad lalu.

Spekulasi tersebut menjadi tular apabila Neelofa bersama Muhammad Haris dikatakan memuat naik gambar dan video ketika berada di sebuah kedai karpet yang dipercayai berlokasi di Nilai sebelum bertindak memadamkannya.

Tindakan itu terus mendapat kecaman netizen yang mempersoalkan mengapa selebriti itu melakukan kesalahan sama berulang kali walaupun sudah meminta maaf.

Sebelum ini, Neelofa tampil memohon maaf secara terbuka berhubung dakwaan melanggar SOP pada majlis perkahwinan dan kunjungannya ke Langkawi, Kedah bersama Muhammad Haris.

Dalam pada itu, Mohd. Fazley menambah, siasatan terhadap pasangan tersebut akan dijalankan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Mereka juga akan disiasat di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersayarat) (No.4) 2021 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, usaha pihak media untuk memperoleh gambar dan video Neelofa keluar daripada IPD Nilai sejak petang tadi tidak berhasil apabila dia tidak kelihatan kelibat selebriti itu keluar dari situ.

Difahamkan Neelofa dan suaminya hadir dan pulang dari IPD Nilai dengan menaiki kereta jenis Toyota Vellfire.

Petang tadi, dalam satu majlis, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Datuk Che Zakaria Othman berkata tiada sebarang keistimewaan mahupun perbezaan diberikan kepada Neelofa dan suaminya dalam siasatan terhadap mereka berdua.

Jelasnya, siasatan melibatkan kedua-duanya akan berjalan seperti biasa mengikut perundangan yang ada. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya