SEREMBAN: Selebriti, Noor Neelofa Mohd. Nor, 32 dan suaminya, Muhammad Haris Mohd. Ismail, 26, meminta dibicarakan di atas tiga pertuduhan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Peguambela bagi pasangan itu, M. Haresh berkata, kes tersebut akan disebut semula pada 4 Jun hadapan selepas anak guamnya membayar jaminan keseluruhan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin hari ini.
“Hari ini, kami hadir untuk tuduhan sedia ada dan pada 4 Jun pihak Timbalan Pendakwa Raya akan serah kepada kami dokumen yang berkaitan dengan kes semasa bagi tujuan perbicaraan, kedua-dua mereka (anak guam) minta dibicarakan.
“Anak guam kami okay dengan jaminan ini dan (jaminan) telah dibayar dan telah dilepaskan atas jaminan mahkamah katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah Seremban hari ini.
Neelofa dan Muhammad Haris mengaku tidak bersalah di atas tiga pertuduhan yang dibicarakan di Mahkamah Majistret Seremban hari ini.
Majistret Mahyun Yusof membenarkan Neelofa dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 bagi satu pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk ‘check in’ di dalam premis atau menulis secara manual.
Muhammad Haris pula dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk ‘check in’ di dalam premis atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Kedua-dua mereka dituduh di bawah Peraturan 19, Peratutan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling.
Sementara itu, Haresh berkata, pihaknya telah memohon kepada mahkamah supaya tiada bayaran jaminan dikenakan ke atas anak guam mereka.
“Ini kes saman, sebab itu kami memohon untuk tiada bayaran jaminan, ini bukan kes jenayah tapi mahkamah berpendapat jamin perlu diberikan,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya pemberita mengenai dakwaan rentas negeri terhadap Neelofa, Haresh memberitahu beliau tidak mempunyai maklumat mengenainya.
“Berkenaan rentas negeri, itu kami tidak tahu, setakat ini pertuduhan hanya untuk kedua-dua, isu rentas negeri tidak dibangkitkan hari ini di mahkamah, sama ada akan ada pertuduhan mengenainya juga tidak diketahui, tidak dimaklumkan apa-apa,” katanya lagi.
Pada 4 Mei lalu, Neelofa dan Muhammad Haris dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi memberi keterangan selama empat jam berkaitan penularan gambar dan video mereka berada di sebuah premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei 2021.-UTUSAN ONLINE