KUALA LUMPUR : Seramai 10 ahli Keluarga kepada usahawan dan selebriti tanah air Noor Neelofa Mohd Noor hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfileds kerana dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menyambut raya pertama bersama keluarga di sebuah rumah di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr. Ismail di sini.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner, Anuar Omar berkata, pihaknya telah selesai mengambil keterangan daripada selebriti itu dan keluarganya serta siasatan selanjutnya akan dijalankan.
Hasil tinjauan Utusan Malaysia di IPD berkenaan, sebuah kenderaan jenis Velfire yang membawa bapa selebriti itu tiba kira-kira 2.51 petang sebelum sebuah lagi kenderaan yang dipercayai membawa ahli keluarganya yang lain tiba di lokasi sama.
Bagaimanapun, kenderaan yang membawa selebriti itu dan keluarganya meninggalkan IPD berkenaan kira-kira 5.40 petang.
Terdahulu, Anuar berkata siasatan dijalankan selepas pihaknya mengesan kejadian itu menerusi video tular berdurasi selama 26 saat dipercayai dimuatnaik sendiri melalui akaun Instagram kakak kepada selebriti tempatan berkenaan.
Kes berkenaan masih dalam tindakan penyiasatan polis dan disiasat di bawah Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 kerana melanggar SOP PKP.- UTUSAN ONLINE