Najib tamat buat rayuan, tarikh keputusan ditetapkan kemudian - Utusan Malaysia

Najib tamat buat rayuan, tarikh keputusan ditetapkan kemudian

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas 15 hari berhujah berhubung sabitan salah atas pelbagai kesalahan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd, barisan pembelaan Datuk Seri Najib Razak baru `tersedar’ bahawa mereka tidak mengemukakan sebarang rayuan mengenai hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya.

Perkara tersebut hanya disedari selepas Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V. Sithambaram pada penghujung penggulungan hujahnya memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bahawa tiada sebarang rayuan berhubung hukuman dikemukakan oleh pembelaan yang diketuai peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Turut bersidang bersama-sama Hakim Abdul Karim ialah Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada ketika ini, pasukan pembelaan Ahli Parlimen Pekan itu kelihatan sedikit menggelabah dan memohon agar mereka diberikan masa tambahan untuk berhujah mengenainya.

Sebelum ini, pembelaan telah diberikan tambahan sebanyak tiga hari menjadikan tempoh untuk mereka berhujah ialah sebanyak sembilan hari berbanding empat hari yang ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini. Mahkamah Rayuan sebelum ini menetapkan 12 hari untuk pihak-pihak berhujah dengan empat hari pertama dikhususkan untuk pihak Najib berhujah.

Pihak pendakwaan juga diberikan tempoh selama empat hari untuk hujahan balas sebelum pihak pembelaan kembali membalas hujahan itu bagi tempoh yang sama.

Pasukan pembelaan itu bagaimanapun bernasib baik apabila Mahkamah memberikan `masa tambahan’ dengan mengarahkan pihak-pihak terlibat memfailkan hujahan bertulis berhubung hukuman denda dan penjara itu dalam tempoh seminggu bermula hari ini.

Sementara itu, selepas tamat prosiding, Najib buat pertama kalinya memberikan `sepatah dua kata’ kepada media yang membuat liputan rayuan tersebut sejak 5 April lalu sehingga hari ini.

“Saya mendoakan bahawa keadilan akan timbul dan saya dapat peluang untuk membersihkan nama saya. Sudah tentu tempoh ini amat menguji kepada saya dan keluarga dan saya berdoa terhadap Ilahi, insyaAllah (agar) apa yang kita harapkan akan menjadi kenyataan. Terima kasih,”katanya sebelum meninggalkan Istana Kehakiman.

Terdahulu, ketika menggulung hujahnya, Muhammad Shafee menyatakan, Najib terpaksa melalui pengalaman yang mengerikan sepanjang perbicaraan berlangsung dan beliau masih `trauma’ mengenainya.

Peguam terbabit juga kembali menghujahkan bahawa Najib tidak sepatutnya dipanggil membela diri dan walaupun telah dipanggil membela diri, anak guamnya itu sepatutnya dibebaskan daripada kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

“Kami (pembelaan) telah menimbulkan pelbagai keraguan dalam kes pendakwaan. Perbicaraan telah dijalankan dengan tidak teratur dan Peguam Negara (ketika itu Tan Sri Tommy Thomas) yang berada di mahkamah sebagai Timbalan Pendakwa Raya tidak membantu mahkamah bagi memastikan perbicaraan tidak tersilap,”katanya.

Pada 27 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib dengan tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta dan menjatuhkan hukuman hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan

Tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu. SRC International merupakan syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah Rayuan selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak kemudian memaklumkan mereka memerlukan masa untuk meneliti segala isu dan perkara penting yang ditimbulkan.

“Rayuan ini merupakan satu rayuan yang memakan masa yang agak lama. Lebih lama daripada rayuan-rayuan lain. Memandangkan rayuan ini membabitkan isu dan perkara yang amat penting, kami (panel hakim) memerlukan masa untuk membuat pertimbangan dan keputusan,” kata Hakim Abdul Karim.

Tambah beliau, mahkamah akan memaklumkan tarikh keputusan bagi rayuan tersebut selepas bersedia dengan keputusan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya