ARAU : Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berharap tiada halangan untuk solat Aidilfitri di kawasan terbuka dengan mengamalkan penjarakan fizikal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Soal Mohd. Asri, jika senaman di kawasan terbuka dengan mengamalkan penjarakan fizikal dibolehkan, mengapa tidak solat Aidilfitri yang tidak bersentuhan dan menjaga jarak?
“Jika senaman di kawasan terbuka dengan mengamalkan penjarakan fizikal dibolehkan, harap tiada halangan untuk solat hari raya di kawasan terbuka dengan mengamalkan penjarakan fizikal.
“SOP semasa solat tidak bersentuhan dan dijarakkan,” katanya dalam status Facebooknya di sini hari ini.
Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pengurusan Covid-19 membuat keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
Menurut Perdana Menteri, untuk itu larangan rentas daerah dan negeri dikuatkuasakan kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, janji temu vaksinasi dan pasangan jarak jauh.
Ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa Aidilfitri adalah tidak dibenarkan.
Manakala solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah.
Ketetapan juga dikuatkuasakan terhadap larangan semua aktiviti sukan dan rekreasi kecuali sukan dan rekreasi individu di kawasan terbuka seperti jogging, berbasikal dan senaman dengan mengamalkan penjarakan fizikal.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebelum itu bertitah, solat Aidilfitri dibenarkan di negeri itu akan diadakan di tanah lapang di kawasan masjid di seluruh Perlis.
Titah baginda, solat Aidilfitri di tanah lapang yang bermula pada pukul 8 pagi itu bukan sahaja selaras dengan sunnah, malah, boleh mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 jika dibandingkan solat yang ditunaikan di tempat tertutup.
Bagaimanapun, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, sekiranya keadaan cuaca tidak bersesuaian seperti hujan lebat, solat berkenaan akan dilaksanakan di dalam masjid dengan kapasiti keluasan maksimum mengikut SOP yang telah ditetapkan bermula pukul 8.30 pagi. -UTUSAN ONLINE