JOHOR BAHRU: Kerajaan diminta mempertimbang beberapa bantuan kepada masyarakat di negara ini bagi berdepan dengan pelaksanaan sekatan pergerakan menyeluruh (total lockdown) yang akan berkuatkuasa bermula 1 Jun ini.
Pemangku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Johor, Muhammed Farhan Basheer berkata, antara bantuan yang boleh diberi termasuklah menggunakan Ordinan Darurat untuk mengarahkan pelaksanaan moratorium.
Katanya, moratorium minimum selama dua bulan penting bagi meredakan impak kewangan terhadap peminjam.
“Antara bantuan lain termasuklah pengurangan sewa premis sepanjang tempoh lockdown bagi mengurangkan beban usahawan yang menyewa.
“Penyediaan program seperti bakul makanan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui usahawan kecil makanan dan minuman yang sekaligus dapat membantu golongan itu meneruskan punca pendapatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu, langkah kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan menyeluruh turut disambut baik masyarakat yang percaya inisiatif berkenaan merupakan cara terbaik dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini.
Seorang pekerja swasta, Norshikin Mohd. Salleh, 38, bagaimanapun memberitahu, dia berharap kerajaan dapat merangka inisiatif bantuan khususnya kepada golongan yang meraih pendapatan secara harian.
“Golongan peniaga misalnya, pendapatan mereka adalah secara harian jadi apabila sekatan pergerakan sepenuhnya dikuatkuasakan pasti pendapatan mereka terjejas.
“Oleh itu saya berharap kerajaan dapat membantu golongan terkesan ini agar usaha memutuskan rantaian Covid-19 turut mengambil kira kesejahteraan dan kestabilan ekonomi masyarakat,” ujarnya.
Seorang lagi pekerja swasta, Zulhisham Isahak, 45, memberitahu, pihak swasta khususnya institusi kewangan diharap dapat mengambil inisiatif segera dengan mengumumkan pemberian moratorium.
“Sehubungan dengan arahan kerajaan berhubung sekatan pergerakan menyeluruh institusi perbankan perlu meneruskan pemberian moratorium tanpa syarat kerana situasi ini akan memberi kesan kepada semua pihak.
“Selain itu saya juga berharap perhatian dapat diberi berhubung pendidikan anak-anak yang kini telah kembali dilakukan menerusi kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) agar mereka tidak terus keciciran dalam pelajaran,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE