Mohon bantuan kurangkan beban - Utusan Malaysia

Mohon bantuan kurangkan beban

SITI Nur Atikah membetulkan saluran tiub pada hidung Raimee yang kini bergantung sepenuhnya kepada susu selepas disahkan menghidap kanser usus tahap empat awal April lalu. – UTUSAN/BAHRUDDIN HATTA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Biarpun pahit, seorang suri rumah perlu menelan hakikat suami tercinta disahkan menderita kanser usus tahap empat bulan lalu tatkala dirinya sarat hamil anak kelima.

Lebih perit, Raimee Ramli, 38, kini terlantar tidak terdaya. Si isteri, Siti Nur Atikah Ismail, 28, mula buntu memikirkan cara terbaik bagi menyara keluarga, lebih-lebih lagi empat anak mereka masih terlalu mentah usianya.

“Anak-anak kami sekarang berusia lapan, tujuh, lima dan dua tahun. Manalah mereka mampu berdikari jika saya keluar mencari rezeki,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediaman mereka di Kampung Manal 1 di sini semalam.

Siti Nur Atikah berkata, Raimee seorang buruh binaan me­ngadu sakit di bahagian perut lalu menjalani pemeriksaan di Hospital Tanah Merah sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, awal April lalu.

“Tidak sampai seminggu di­sahkan menghidap kanser usus, suami ditahan di wad HRPZ dan sehari sebelum Aidilfitri, barulah dia dibenarkan balik ke rumah. Sejak hampir sebulan suami di hospital, kami tiada punca pendapatan langsung.

“Selepas suami keluar dari hospital, saya tidak mampu beli lampin dan susu khas berharga RM78 setin untuk kegunaan suami kerana tidak bekerja,”katanya yang mula bergenang air mata.

Siti Nur Atikah nekad mengetepikan rasa malu apabila berusaha menghubungi badan bukan kerajaan (NGO) untuk memohon bantuan mengurangkan kesempitan hidup mereka sekeluarga sehingga akhirnya mendapat perhatian Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS).

“Saya amat bersyukur kerana KELSS memberi bantuan kilat berbentuk wang tunai, bekalan lampin dan susu khas bagi tempoh sebulan namun masih buntu memikirkan masa depan selepas bekalan ini habis.

“Tambah bingung saya perlu bawa suami ke HRPZ II setiap dua minggu untuk menjalani rawatan kemoterapi. Setakat ini saya dibantu saudara mara atau orang kampung yang diupah bagi membawa kami ke hospital,” katanya.

Siti Nur Atikah dalam pada itu mengakui kisah keluar­ganya turut menarik perhatian beberapa pihak berminat mengambil anak-anaknya termasuk bayi yang bakal dilahirkan dua bulan lagi sebagai anak angkat.

Sambil air matanya tum­pah lalu mengalir deras di pipi, wanita itu berkata, dia sanggup hidup susah berdepan ujian Allah SWT daripada membiarkan mereka anak beranak hidup terpisah.

“Allah sahaja yang tahu betapa luluh hati saya setiap kali ada orang memberitahu mahu mengambil anak-anak kami,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 164258499160 milik Nur Atikah Ismail atau menghubunginya di talian 014-7935086. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya