JOHOR BAHRU: Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengambil alih sepenuhnya proses kawalan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bermula esok ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang dilaksanakan di kampus berkenaan.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, pengurusan universiti akur dengan arahan itu yang akan berkuatkuasa sehingga 3 Jun ini berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang direkodkan berlaku di dalam kampus UTM Johor Bahru.
“Sehingga kini, 49 kes positif Covid-19 direkodkan daripada 346 ujian saringan yang dijalankan di mana ianya menunjukkan kadar positiviti tinggi iaitu 14.2 peratus.
“Pelaksanaan PKPD ini merupakan tindakan terbaik bagi mengekang penularan wabak dan memberi ruang kepada Kementerian Kesihatan melaksanakan proses sanitasi dan pengesanan kontak terhadap kes yang dilaporkan di kampus,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kampus induk UTM di Skudai bakal dikenakan PKPD selama 14 hari sehingga 3 Jun ini.
Menurut beliau, jangkitan telah menular di beberapa kolej kediaman lain selepas 49 kes positif dikesan melibatkan penghuni dari lima buah kolej dan pusat kesihatan.
Institut pengajian tinggi awam itu muncul sebagai yang kedua di negara ini dikenakan PKPD selepas kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu, Sabah pada awal April lalu.
Tambah Ahmad Fauzi, keperluan asas dan kebajikan seluruh warga kampus seperti agihan makanan dan barangan keperluan akan diuruskan pihak MKN.
“Sungguhpun begitu, pengurusan universiti masih merupakan pemegang amanah utama terhadap kebajikan dan kesejahteraan seluruh warga kampus.
“Universiti akan menggerakkan usaha bantuan berterusan kepada warga kampus yang terkesan bagi memastikan segala keperluan dan kebajikan mereka terjamin,” jelasnya.
Ahmad Fauzi turut menyeru warga kampus agar kekal tenang dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak kerajaan selain mengingatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih berkaitan penularan wabak itu. -UTUSAN ONLINE