Misi khas bawa pulang warga Malaysia dari India - Utusan Malaysia

Misi khas bawa pulang warga Malaysia dari India

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah pesawat sewa khas akan berlepas ke New Delhi dan Mumbai di India dalam masa terdekat dalam misi membawa pulang rakyat Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia susulan situasi gelombang kedua penularan pandemik Covid-19 di India ketika ini yang berada pada tahap amat serius.

“Kerajaan akan melaksanakan misi repatriasi khusus bagi rakyat Malaysia yang berada di wilayah utara dan barat India,” katanya menerusi kenyataan.

Jelas beliau, usaha penerbangan kecemasan tersebut meliputi semua petugas warga Malaysia yang berpangkalan di India daripada pelbagai agensi serta ahli tanggungan mereka di sana.

Langkah berkenaan katanya, bakal dilaksanakan melalui kerjasama antara Kementerian Luar, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kementerian Kesihatan.

“Pesawat terbabit akan berlepas dalam masa terdekat sebaik sahaja segala urusan berkaitan termasuk kelulusan penerbangan daripada kerajaan India diperoleh,” katanya.

Beliau berkata, keputusan pelaksanaan misi itu dibuat secara bersama melibatkan pelbagai agensi malah mengambil kira maklumat hasil analisis dibuat pejabat perwakilan Malaysia di India.

Katanya, misi repatriasi yang sama pernah dilaksanakan oleh pihak kerajaan ketika penularan pandemik itu pada tahun lalu melibatkan rakyat negara ini di China, Iran dan Itali.

Warga Malaysia dibawa pulang itu akan diwajibkan menjalani ujian Covid-19 sebelum berlepas dan sebaik sahaja tiba selain menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat yang ditetapkan.

“Misi ini tidak melibatkan wilayah selatan dan timur India ekoran situasi di sana masih terkawal namun Konsul Malaysia di Chennai akan memantau situasi di dua wilayah ini,” tegasnya.

Hishammuddin menambah, Wisma Putra akan membuat penilaian secara berterusan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia di wilayah terbabit terus dijaga.

Katanya, mereka yang berada di wilayah utara dan barat India yang mahu menyertai misi itu dinasihatkan mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Konsul Malaysia di Mumbai.

Rakyat Malaysia berkenaan jelas beliau, perlu berbuat demikian melalui e-mel rasmi di dua pejabat perwakilan tersebut selewat-lewatnya sebelum pukul 5 petang waktu India esok.

E-mel rasmi pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi ialah [email protected] manakala Konsul Besar Malaysia di Mumbai pula ialah [email protected].

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya