Merindui nazam malam lebaran yang kian hilang - Utusan Malaysia

Merindui nazam malam lebaran yang kian hilang

CONTOH nazam yang dikumpul dan disimpan oleh Aripin Said untuk tatapan generasi akan datang yang dicetak pada 1925.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Tradisi bernazam pada malam hari raya Aidilfitri terus tersisih malah boleh dikatakan telah hilang dalam masyarakat Melayu ketika ini.

Nazam adalah puisi klasik dalam perkembangan sastera Melayu yang mempunyai unsur atau pengaruh-pengaruh Arab Parsi dan berkembang di negara ini sejak zaman kerajaan Melayu Melaka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Aripin Said ketika mengimbau kenangan lampau itu berkata, pada masa lalu pada malam hari raya Aidilfitri seluruh anggota keluarga akan berkumpul untuk bernazam.

Beliau berkata, nenek atau aki akan mengumpulkan anak cucu selepas solat Maghrib untuk bertakbir hari raya dan kemudiannya membaca nazam.

DR. ARIPIN SAID

“Antara nazam yang terkenal dibacakan ialah Nazam Siti Fatimah, Nazam Bulan Berbelah, Nazam Sifat Dua Puluh dan Nazam Sirah Nabi.

“Nazam itu dibawakan dengan lagu-lagu atau irama tertentu pada setiap judul sekali gus tanda kasih kepada Rasulullah SAW, mengukuhkan keimanan dan mengeratkan ikatan kekeluargaan,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, Aripin berkata, beliau terkilan ke­rana pada zaman kini jangan kata hendak bernazam malah manuskrip serta irama-iramanya turut hilang.

Beliau menjelaskan, jika ada pun irama yang diingati ataupun teks nazam tersebut masih disimpan, ianya sangat-sangat jarang ditemui.

“Malah iramanya juga sudah bercampur baur atau lagunya tidak habis sebagai mana sebenarnya,” katanya.

Beliau turut menyebut beberapa irama nazam tersebut masih boleh diingatnya dan beberapa manuskrip juga turut berada dalam simpanannya.

Jelasnya, dahulu, nazam begitu terkenal di negeri ini khususnya di daerah Temerloh, Bera dan Pekan.

Ini kerana ujarnya, di kawasan tersebut terdapat banyak sekolah agama dan pusat pengajian madrasah yang wujud sejak abad ke-19 lagi.

“Di Kampung Berhala Gantang, Temerloh umpamanya terdapat Sekolah Menengah Agama Alwosto dan di Bera terdapat Madrasah Al-Aliah Alarabiah yang mana sekolah atau madrasah ini menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar,” katanya.

Beliau dalam pada itu meminta medium kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil inisiatif mendokumentasi saki baki nazam untuk siaran.

“Bertanyalah kepada golongan tua yang masih ada berkaitan khazanah bangsa yang semakin pupus sebagaimana dikir Pahang atau dikir rebana,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya