MELAKA: Beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air banjir berikutan hujan lebat yang turun sejak awal pagi tadi.
Antara kawasan yang terlibat di Bukit Beruang adalah Taman Melawis, Taman Kerjasama, Taman Bukit Beruang Utama dan Kampung Sungai Putat.
Lokasi lain yang turut dinaiki air adalah Taman Rambai Jaya dah Taman Rambai Indah manakala di Durian Tunggal melibatkan Kampung Padang Keladi dan Kampung Bukit Balai.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Melaka, Penguasa Kanan Bomba II Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, kawasan paling terjejas adalah Bukit Beruang melibatkan 40 orang mangsa dari tiga taman perumahan dan sebuah kampung.
“Seramai 28 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil dan BBP Padang Temu telah digerakkan untuk operasi menyelamat.
“Kesemua mangsa akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah.
“Manakala di Taman Rambai Jaya dan Taman Rambai Indah pula hanya tujuh sahaja mangsa yang terlibat dan akan ditempatkan di rumah saudara terdekat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, di Durian Tunggal, kerja-kerja pemindahan seramai enam orang mangsa telah selesai dilakukan dan kesemua mereka akan ditempatkan di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal.
Setakat tengahari tadi, hujan lebat telah pun berhenti dan cuaca kini dalam keadaan mendung. -UTUSAN ONLINE