Mekanik hadapi empat pertuduhan menipu - Utusan Malaysia

Mekanik hadapi empat pertuduhan menipu

KOMPLEKS Mahkamah Seremban di Seremban 2, Seremban.-FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu dan memperdayakan seorang lelaki untuk membuat pembayaran berjumlah RM17,500 bagi beberapa projek yang tidak wujud, tahun lalu.

Tertuduh Hairi Kasman, 40, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mahyun Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa dengan curang telah menipu dan memperdayakan Rosli Hashim, 57, untuk membuat pembayaran sebanyak RM17,500 kepadanya secara transaksi atas talian akaun bank secara berasingan sejak 7 hingga 21 September 2020.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh telah memperdayakan Rosli untuk membuat pembayaran sebanyak RM5,000 bagi projek penyelenggaran yang tidak wujud di apartmen di Presint 6 Putrajaya, pada 7 September 2020.

Seterusnya bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah memperdayakan individu sama untuk membuat pembayaran sebanyak RM2,000 bagi projek penyelengaraan apartmen kerajaan di Putrajaya yang tidak wujud yang mana beliau tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan oleh tertuduh pada 10 September 2020.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh juga telah menipu individu sama dengan memperdayakan beliau untuk membuat pembayaran RM7,500 secara transaksi atas talian bagi tujuan pembelian kereta lelongan Polis Diraja Malaysia yang tidak wujud pada 15 September 2020.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh telah menipu individu sama untuk membuat pembayaran RM3,000 bagi projek tukar karpet dan langsir di Istana Seri Menanti yang tidak wujud pada 21 September 2020.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di tiga lokasi berbeza iaitu restoran A&W Seremban, Acacia Seremban dan Oakland Business Centre Seremban.

Semua pertuduhan terbabit dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM11,500 bagi kesemua empat pertuduhan.

Kes tersebut disebut semula 10 Jun depan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN