JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengarahkan perniagaan Kak Siti Ayam Penyet yang tular dalam media sosial kerana mengelirukan dan menggusarkan pengguna supaya ditutup serta-merta.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud berkata, kedai dalam talian yang beroperasi di rumah di Taman Johor Jaya di sini diarahkan berbuat demikian kerana tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah dari MBJB.
Katanya, tindakan itu diambil ekoran aduan awam menerusi laman media sosial baru-baru ini berhubung isu perniagaan makanan yang menimbulkan kegusaran orang ramai disebabkan mengguna pakai nama perniagaan yang boleh mengelirukan para pembeli.
Tambahnya, MBJB turut mengarahkan agar segala iklan-iklan perniagaan yang dipamerkan di rumah berkenaan dibuka serta-merta.
“Susulan aduan tersebut, sepasukan anggota penguatkuasa MBJB menjalankan siasatan semalam dan mendapati bahawa sepasang suami isteri telah menjalankan aktiviti perniagaan pelbagai jenis makanan di sebuah rumah dengan menggunakan aplikasi pesanan makanan dalam talian.
“Siasatan turut mendapati bahawa peniaga tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah dari MBJB untuk menjalankan aktiviti perniagaan tersebut dan menggunakan nama perniagaan yang boleh mengelirukan para pembeli.
“Sehubungan itu, MBJB telah mengeluarkan satu notis amaran kepada peniaga tersebut di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja (MBJB) 2010 kerana telah menjalankan aktiviti
perniagaan tanpa lesen yang sah daripada MBJB serta telah mengarahkan perniagaannya ditutup serta merta dan mengemas barang-barang perniagaan berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, tular dalam media sosial pasangan suami isteri bukan Islam menjalankan perniagaan dengan menggunakan nama kedai Melayu bagi mengelirukan pengguna aplikasi pemesanan makanan atas talian.
Hasil tinjauan yang dibuat ke rumah terbabit, kedai itu sudah tidak lagi beroperasi sejak semalam setelah didatangi sepasukan penguatkuasa MBJB kira-kira pukul 1 petang.
Sementara itu, Adib memberitahu, peniaga tersebut juga mendaftar nama syarikat yang sama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di atas nama perniagaan yang dijalankan.
“Setakat pemantauan sehingga hari ini, didapati bahawa perniagaan tersebut telah tidak
beroperasi dan patuh kepada arahan diberikan.
“Jabatan Penguatkuasaan MBJB juga akan melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan arahan yang dikeluarkan dipatuhi sepenuhnya. Sekiranya perniagaan tersebut didapati beroperasi, tindakan sitaan barangan akan diadakan secara serta merta,” ujarnya.
Jelasnya, MBJB juga telah memanjangkan aduan ini serta laporan siasatan yang dijalankan kepada agensi bertanggungjawab seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Tambahnya, laporan yang sama turut dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru dan SSM bagi tindakan susulan. -UTUSAN ONLINE