MB, 10 Exco Terengganu setuju serah sebulan gaji untuk Palestin - Utusan Malaysia

MB, 10 Exco Terengganu setuju serah sebulan gaji untuk Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar bersama 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju menyerahkan sebulan gaji mereka pada bulan ini untuk disalurkan dalam dana #Aid4Palestine.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, inisiatif itu turut mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas menerusi sumbangan sebanyak RM3,000 setiap seorang.

MOHD NOR HAMZAH

Di samping itu, katanya, kutipan dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) setakat ini berjaya mengumpul sebanyak RM100,000.

“Sumbangan ini sebagai tanda komitmen dan solidariti kerajaan negeri dalam membantu saudara kita di Palestin yang yang tertindas dengan kekejaman rejim Israel,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohd. Nor, kempen kesedaran #Aid4Palestine turut giat digerakkan di bawah Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri bagi meningkatkan lagi kutipan dana untuk Palestin.

Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai untuk bersama-sama menyalurkan sumbangan dalam Sekretariat #Aid4Palestine yang dirintis kerajaan.

Semalam, Duta Khas Perdana Menteri Ke Asia Barat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan menggerakkan kempen kesedaran terhadap Palestin dengan menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1 juta bagi membantu perjuangan umat Islam di negara berkenaan.

Abdul Hadi berkata, penubuhan sekretariat #Aid4Palestine yang dipengerusikan ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi itu menjadi koordinator jaringan antara NGO dan masyarakat di samping menyelaraskan kutipan dana. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN