KUALA TERENGGANU: Mayat lelaki dipercayai nelayan yang hilang ketika menangkap ikan di perairan Kuala Terengganu ditemukan di Pulau Kapas Marang, hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, mayat yang disyaki Baharudin Abdullah, 47, itu ditemukan dalam keadaan terapung di kedudukan 17 batu nautika dari pulau peranginan berkenaan, kira-kira pukul 1 petang.
Katanya, penemuan mayat tersebut disedari oleh nelayan tempatan semasa operasi mencari dan menyelamat (carilamat).
“Mayat kemudian dibawa ke jeti Maritim Malaysia Malaysia Terengganu oleh bot Pengawal 16 sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk bedah siasat.
“Pencarian hari ini merangkumi 211.54 batu radius dari kawasan mangsa dipercayai hilang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baharudin merupakan antara tiga nelayan yang dikhuatiri hilang dalam dua kejadian berbeza di perairan Kuala Terengganu di sini.
Difahamkan, bot tempatan kelas A yang dinaiki mangsa bersama tekong, Jaafar Sulong, 66, berkemungkinan mengalami kerosakan selepas terputus hubungan sejak semalam.
Dalam kejadian berbeza, Wan Mohd. Sufian Wan Abdul Rahman, 34, pula disyaki hilang di laut selepas bot miliknya ditemukan nelayan tempatan di kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.
Sementara itu, menurut Muhammad Suffi, operasi cari dan menyelamat dua mangsa lain diteruskan dengan aset kapal peronda, bot dan sebuah pesawat dengan turut melibatkan pihak Jabatan Perikanan di samping persatuan nelayan tempatan. -UTUSAN ONLINE