Maya Hejnowska dinobatkan Unduk Ngadau 2021 - Utusan Malaysia

Maya Hejnowska dinobatkan Unduk Ngadau 2021

Maya Hejnowska (tengah) dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2021 di Hongkod Koisaan, KDCA Penampang, Sabah hari ini-Gambar Ehsan Aizad Photography
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPANG: Maya Hejnowska,20, mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api dinobatkan sebagai pemenang Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2021 setelah menewaskan 21 peserta akhir yang lain.

Pertandingan UNK 2021 ini diadakan dalam skala kecil ini Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dan disiarkan secara langsung melalui Facebook Kaamatan TV.

Maya membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM 15,000 ini mengambil-alih takhta UNK daripada pemenang UNK 2019, Francisca Ester Nain.

Pemenang UNK 2021 ini adalah gadis campuran Kadazan-Polish dan sedang menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Muzik.

Anak kedua daripada tiga beradik ini menyimpan hasrat untuk menjadi seorang pensyarah muzik dan dia turut dipilih sebagai Miss Charming melalui undian laman web.

Maya turut memenangi gelaran Tati Tosuau (Miss Friendly) semasa Sodop Pintutunan atau Malam Gala UNK yang diadakan pada 28 Mei lepas.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Dianarin Vahidin mewakili Paginatan dan tempat ketiga milik Febby Angelica Richard mewakili Kundasang. Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM12,000 dan RM10,000.

Sementara itu, tempat keempat hingga ketujuh masing-masing dimenangi oleh Lisa Christie Deminic (Tulid), Avril Elvira Roger Anthony (Tanjung Keramat), Sharon Stephen (Kawang), Carrey Evanne Kim Lee (Penampang).

Pemenang tempat keempat hingga ketujuh masing-masing menerima wang tunai RM5,000, RM4,000, RM3,000 dan RM2,000.

Setiap pemenang menerima wang tunai, trofi, sarung, hamper dan biasiswa daripada North Borneo University College.

Sebanyak 11 gelaran sampingan turut diumumkan dan setiap pemenang menerima wang tunai RM1,000, selendang dan sejambak bunga.

UNK 2021 adalah acara kemuncak sambutan Pesta Kaamatan yang diadakan sepanjang bulan Mei di Sabah.

Pertandingan Unduk Ngadau diadakan bagi menyemarakkan semangat pengorbanan Hominodun yang sanggup berkorban demi kesejahteraan masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).

UNK tanpa sempadan tahun ini disertai oleh 79 orang peserta mewakili setiap DUN di Sabah dan empat negeri di Semenanjung Malaysia.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya