Maut tersepit bertembung lori tangki - Utusan Malaysia

Maut tersepit bertembung lori tangki

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Gelang Patah-Ulu Choh, Pekan Nanas, Pontian, Johor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang remaja lelaki maut apabila Toyota Vios dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki dalam kejadian di Kilometer 7 Jalan Gelang Patah-Ulu Choh, Pekan Nanas di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, mangsa, See Wei Jei, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dalam perjalanan dari arah Ulu Choh ke Gelang Patah.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan berlanggar lori yang datang dari Gelang Patah.

“Kemalangan itu menyebabkan kereta dinaiki mangsa remuk pada bahagian hadapan dan mangsa tersepit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, kemalangan itu menyebabkan mangsa yang beralamat di Taman Jasa, di sini meninggal dunia di lokasi manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nanas, Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat berkata, dua jentera daripada balai tersebut dan BBP Iskandar Puteri bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, seramai 12 orang anggota terlibat dalam operasi tersebut bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

“Mangsa telah dikeluarkan dengan menggunakan peralatan Rescue Tools dan  telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi sebelum diserahkan kepada polis,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya