PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam terus naik lagi dengan 754 individu dicekup dengan kesalahan tertinggi masih lagi tidak memakai pelitup muka sebanyak 168 kes.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,daripada jumlah itu seramai 746 individu dikompaun manakala lapan lagi direman hasil pemantauan melibatkan 69,542 pemeriksaan oleh Task Force Operasi Pematuhan.
“Antara kesalahan lain ialah gagal menjaga jarak fizikal dengan 145 kes, tidak merekod butiran diri di premis (109), membawa penumpang secara berlebihan dalam kenderaan (74) dan lain-lain (258).
Seramai 38 pendatang tanpa izin dan tujuh kenderaan darat turut disita semalam melalui Operasi Benteng selain 200 buah bot atau kapal yang dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 738 individu telah tiba di tanah air semalam dengan kesemua dikuarantin yang pada masa ini sejumlah 9,128 individu masih lagi menjalani proses itu, manakala 2,272 individu dibawa ke hospital selain 204,092 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 10 jenis bekalan barangan di 589 peruncit, 132 pemborong dan 31 pengilang termasuk melakukan sejumlah 1,797 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan dua premis dikompaun kerana tidak patuh peraturan.- UTUSAN ONLINE