Maritim Selangor patahkan seludup keluar dadah RM3.33 juta - Utusan Malaysia

Maritim Selangor patahkan seludup keluar dadah RM3.33 juta

KAMARUSZAMAN (kiri) dan Pengarah Maritim Selangor, Kepten Mohammad Rosli Kassim (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam bot gentian kaca dinaiki tiga suspek termasuk dua beranak di kedudukan 3.4 batu nautika dari barat daya Sungai Kapar Kecil, Pelabuhan Klang, Selangor semalam.UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELABUHAN KLANG: Tindakan dua beranak merupakan Orang Asli yang menjadi ejen menyeludup dadah keluar ke negara jiran membawa padah apabila salah seorang daripadanya maut selepas bot dinaiki mereka bertembung dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor di kedudukan 3.4 batu nautika dari barat daya Sungai Kapar Kecil di sini semalam.

Dalam Op Belangkas 30 minit itu, suspek berusia 70 tahun itu maut selepas berlaku pelanggaran antara bot dinaikinya bersama dua individu iaitu anak perempuannya berusia 40 tahun dan seorang warga Indonesia 24 tahun kira-kira pukul 11 malam.

Malah, pemeriksaan dalam bot gentian kaca tiada nombor pendaftaran dinaiki ketiga-tiga suspek menemukan dadah jenis syabu dianggarkan berat 31 kilogram (kg) dan pil ekstasi sebanyak 25 kg (63,000 biji) yang keseluruhan bernilai RM3.33 juta.

Difahamkan, pengedaran dadah tersebut bukan kali pertama dilakukan dua beranak warga tempatan itu dan mereka menjadi ejen susulan kedudukan kediaman yang berdekatan dengan laut.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, pihaknya meneruskan operasi itu susulan penahanan seorang lelaki warga Indonesia bersama dadah seberat 1 kg pada 5 April lalu.

Menurutnya, susulan penahanan itu, Maritim Selangor telah menggerakkan bot samaran menuju ke perairan Pulau Ketam dan mengesan bot gentian kaca dinaiki tiga suspek sebelum mengarahkan mereka berhenti.

“Apabila bot samaran bergerak rapat ke bot suspek, salah seorang anggota Maritim Selangor berpangkat laskar kanan berusia 35 tahun telah melompat masuk, namun ketiga-tiga mereka tidak memberi kerjasama dan cuba melarikan diri.

“Tekong bot merupakan warga tempatan iaitu Orang Asli telah memecut bot dengan membawa anggota terbabit. Anggota Maritim terbabit telah melepaskan tembakan ke udara sebagai amaran supaya tekong memberhentikan bot, namun tidak diendahkan malah bertindak memukul menggunakan sauh yang mengenai bahu dan rusuk kiri.

“Bot suspek juga telah bertindak dengan menghimpit bot dinaiki Maritim Selangor sehingga berlaku perlanggaran antara kedua-dua bot. Akibat pelanggaran, bot dinaiki suspek tenggelam ke lokasi dan tekong terbabit didapati meninggal dunia setibanya di Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu,  pemeriksaan di tempat kejadian telah menemukan empat guni disyaki dadah yang dipercayai untuk dipasarkan ke negara jiran.

“Setakat ini, siasatan masih dijalankan dan kita sedang menyiasat daripada mana kedua beranak ini mendapatkan bekalan dan penglibatan individu lain. Kita juga telah melakukan pemeriksaan di rumah dua beranak di Tanjung Harapan dan menemukan 1 kg syabu pukul 5 pagi tadi.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya