Maritim hargai anggota bertugas masa raya - Utusan Malaysia

Maritim hargai anggota bertugas masa raya

SHAHRIZAN Raman (dua dari kiri) menyampaikan bungkusan raya kepada anggotanya yang bertugas semasa hari raya pada majlis pejabat Maritim Malaysia Perak di Lumut hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak mengagihkan 119 bungkusan raya dan apresiasi kepada pegawai dan anggota pasukan itu yang bertugas pada Aidilfitri ini.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, majlis yang menjadi tradisi setiap tahun itu diadakan di bilik taklimat Ibu Pejabat Maritim Malaysia Perak bersama ketua unit dan wakil Maritim Malaysia Negeri Perak, Zon Maritim Kuala Kurau dan juga anggota Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Lumut di sini pagi tadi.

“Majlis ini diadakan atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab sosial agensi serta menghargai warga yang akan bertugas pada 1 Syawal nanti.

“Sedikit sebanyak, sumbangan ini dapat memberi keceriaan sambutan walaupun bertugas di pagi Syawal,” katanya berucap pada majlis tersebut.

Pada majlis tersebut, selain menzahirkan ucapan sambutan Aidilfitri kepada seluruh warga kerja Maritim Malaysia Perak, Shahrizan juga berpesan agar sentiasa menjalankan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi, sentiasa menjaga integriti serta sentiasa tabah dalam melaksanakan tugas demi agama, bangsa dan negara.

Jelasnya, ia juga simbolik penghargaan kepada anggota yang bertungkus-lumus memastikan perairan negara kekal selamat dan stabil sepanjang Aidilfitri, khususnya ketika negara masih berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Maritim Malaysia Perak mengambil inisiatif mengamalkan norma baharu ketika menyampaikan sumbangan terhadap golongan yang terkesan semenjak pewartaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khasnya melalui program ‘Bakul Kasih Ramadan’.

Maritim Malaysia Perak bersama badan – badan bukan kerajaan (NGO) menyalurkan sumbangan kepada golongan sasaran iaitu pelajar di Sekolah Kebangsaan Haji Mahmud Chemor di Ipoh.

Sumbangan itu disampaikan kepada 24 murid sekolah tersebut berupa hamper kuih raya, duit raya serta edaran pelekat yang memuatkan info mengenai Maritim Malaysia.

Menurut Shahrizan, agensi itu turut mengambil inisiatif menyampaikan maklumat kepada penduduk di kawasan bandar mengenai kewujudan serta tanggungjawab dan peranan agensi penguatkuasaan berbanding di kawasan Lumut, di mana agensi telah dikenali oleh komuniti maritim sekitar termasuk nelayan tempatan.

“Program amal dan sumbangan ini dilaksanakan atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab sosial agensi ini terhadap mereka yang amat memerlukan.

“Sedikit sebanyak sumbangan ini dapat meringankan beban dan memberi keceriaan kepada mereka dalam menyediakan kelengkapan untuk menyambut kemeriahan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

Sehubungan itu, agensi berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan serta menyalurkan sumbangan kepada murid yang disasarkan dalam program tersebut.

Katamya, Maritim Malaysia Perak berharap program seperti itu menjadi sebuah platform bagi orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya