'Mana bantuan untuk rakyat hadapi total lockdown?' - Anwar - Utusan Malaysia

‘Mana bantuan untuk rakyat hadapi total lockdown?’ – Anwar

ANWAR Ibrahim bertanya khabar petugas-petugas kesihatan ketika beliau mengadakan lawatan dan tinjauan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Belia dan Sukan Telok Kemang, Port Dickson. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kerajaan perlu segera mengumumkan pakej bantuan termasuk melaksanakan moratorium bagi rakyat mendepani kesukaran pelaksanaan sekatan pergerakan menyeluruh (total lockdown) bermula esok.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu mesti diselesaikan segera kerana rakyat hilang pendapatan kerana tidak boleh keluar bekerja ketika ‘total lockdown’ itu.

“Belum ada kenyataan tegas tentang moratorium walaupun bank untung besar, tetapi moratorium belum (diumumkan).

“Setiap kali ‘lockdown’ mesti ada bantuan kepada rakyat, (ia) mesti diselesaikan dengan bantuan walau tidak sepenuhnya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Belia dan Sukan Telok Kemang dekat sini hari ini.

Sementara itu, Anwar menegaskan, kerajaan perlu segera menyelesaikan isu kekurangan vaksin Covid-19 termasuk dengan mengambil langkah segera meluluskan kemasukan beberapa vaksin Covid-19 selain tiga yang telah digunakan di negara ini.

“Sinopharm belum lulus, Moderna belum lulus, Sputnik belum lulus. Sinopharm contohnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah lulus, 37 buah negara juga telah luluskan, kenapa ia mengambil masa yang lama untuk mendapatkan kelulusan (kerajaan)?” soalnya.

Beliau berkata, alasan ramai penduduk yang tidak mendaftar dan tidak keluar mengambil vaksin sehingga mengganggu program imunisasi ketika ini merupakan sesuatu yang tidak munasabah.

“Kenapa masa pilihan raya boleh kerah semua orang untuk datang, ini (soal) jentera dan juga komitmen.

“(Di Port Dickson) kita tentukan sukarelawan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan siapkan termasuk kenderaan, kita juga akan uruskan pemandu teksi yang tiada kerja ketika ini, untuk kita bantu ambil penduduk kampung, sama ada orang kurang upaya, warga emas terutama yang susah untuk kita bawa ke sini (PPV),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya