PUTRAJAYA: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara yang dilancarkan tentera rejim Israel di Semenanjung Gaza semalam sehingga mengakibatkan kematian dan kecederaan terhadap rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, serangan kejam, melampau dan keterlaluan oleh Israel itu secara keseluruhan dan terang-terangan menyalahi undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata, Malaysia turut mengulangi rasa kesal dengan serangan ganas dan pencerobohan berterusan tentera rejim Israel terhadap rakyat Palestin dan umat Islam yang sedang beribadat di Masjid Al-Aqsa sejak 7 Mei lalu, serta pengusiran rakyat Palestin yang tinggal di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmuqaddis Timur.
“Pada hari-hari terakhir bulan suci Ramadan ini, serangan yang keji dan disasarkan terhadap saudara-saudara kita sesungguhnya amat biadap dan tidak menghormati bukan sahaja umat Islam di seluruh dunia, tetapi umat manusia secara keseluruhan.
“Malaysia menuntut Israel untuk segera menghentikan kekejamannya terhadap rakyat Palestin di wilayah yang diduduki termasuk yang berada di Semenanjung Gaza.
“Kekerasan secara berterusan oleh Israel terhadap rakyat Palestin, terutamanya pada bulan suci Ramadan, tidak boleh diterima sama sekali dan rejim itu wajib dipertanggungjawabkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata, masyarakat antarabangsa tidak boleh menutup mata dan berdiam diri serta tidak menghiraukan kekejaman yang dilakukan oleh rejim itu.
Oleh yang demikian katanya, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa terutama sekali Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya bertindak tegas dan mendesak Israel untuk menghentikan segera kezaliman terbaharu terhadap rakyat Palestin.
Beliau menegaskan, masyarakat antarabangsa juga perlu bersama-sama menggembleng usaha bagi melindungi rakyat Palestin daripada tindakan ganas Israel.
“Dalam waktu-waktu sukar ini, Malaysia akan sentiasa memberi sokongan padu dan mengukuhkan solidariti dengan rakyat Palestin.
“Malaysia juga turut mengulangi pendirian menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat menerusi penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota Palestin, yang merupakan satu-satunya penyelesaian terbaik dalam konflik Palestin-Israel,” katanya.