PUTRAJAYA: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu mengkaji semula cadangan yang terkandung dalam laporan Setiausaha Agung pada tahun 2018, A/ES-10/794, mengenai penempatan pasukan bersenjata PBB atau pemerhati tidak bersenjata bagi meningkatkan perlindungan ke atas rakyat Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara itu antara tiga perkara penting yang ditekankan Malaysia pada perbahasan terbuka Majlis Keselamatan PBB secara sidang video (VTC) mengenai keadaan di Asia Barat, semalam.
Dalam perbahasan itu, menurut beliau, Malaysia menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk melaksanakan tanggungjawab utamanya bagi memastikan situasi keselamatan dan keamanan di rantau tersebut.
Pihak Majlis Keselamatan PBB, katanya, juga disaran menggunakan mekanisme sedia ada bagi mengelakkan berlakunya kehilangan lebih banyak nyawa di Palestin.
“Dua lagi perkara penting ditekankan Malaysia di VTC Majlis Keselamatan PBB itu ialah badan antarabangsa itu perlu bertindak segera dan memikul tugasnya yang termaktub di bawah Piagam PBB.
“Satu perkara lagi ialah Majlis Keselamatan PBB hendaklah tegas dan bersatu suara serta bertindak pantas terhadap siri serangan oleh rejim Israel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hishammuddin berkata, Malaysia kecewa dengan Majlis Keselamatan PBB yang masih gagal mengutuk tindakan Israel serta menggesa keganasan ke atas rakyat Palestin dihentikan.
Beliau menjelaskan, ini merupakan sesi ketiga Majlis Keselamatan PBB dalam minggu ini dan masih belum ada satu kenyataan yang dikeluarkan mengenai situasi semasa di Palestin.
Justeru, katanya, Malaysia mendesak Perhimpunan Agung PBB segera mengadakan Sesi Khas bagi menghentikan konflik di Palestin.
“Atas sebab ketiadaan sebarang tindakan daripada Majlis Keselamatan PBB – Malaysia, selaras dengan kenyataan bersama negara Brunei dan Indonesia mendesak Perhimpunan Agung PBB untuk segera mengadakan sesi khas bagi menghentikan konflik di Palestin.
“PBB perlu mendesak Israel mematuhi undang undang antarabangsa serta Piagam PBB,” katanya.
Pada masa sama, Hishammuddin berkata, Malaysia sekali lagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Israel ke atas rakyat Palestin dan umat Islam yang sedang beribadah di Masjid Al-Aqsa.
Malaysia, ujarnya, juga mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan berterusan oleh tentera Israel serta pengusiran rakyat Palestin yang menetap di kawasan Sheikh Jarrah dan Silwan di Baitulmaqdis.
“Malaysia tidak akan sesekali mengiktiraf tindakan pencerobohan dan rampasan tanah milik rakyat Palestin bagi tujuan perluasan penempatan haram mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE