Malaysia gerak kempen #Aid4Palestine - Utusan Malaysia

Malaysia gerak kempen #Aid4Palestine

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan menggerakkan kempen kesedaran terhadap Palestin dengan menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1 juta bagi membantu perjuangan umat Islam di negara berkenaan yang tertindas akibat kekejaman rejim Israel.

Duta Khas Perdana Menteri Ke Asia Barat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam misi bantuan itu menerusi penubuhan Sekretariat #Aid4Palestine.

Katanya, sekretariat yang dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi itu menjadi koordinator jaringan antara NGO dan masyarakat di samping menyelaraskan kutipan dana.

“Setakat ini komitmen fasa pertama yang akan disalurkan menjelang 10 Syawal sudah mencecah RM350,000 hasil kutipan terkumpul oleh PasRelief, Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia Society dan Cakna Palestin Malaysia.

“Kutipan fasa kedua kira-kira RM650,000 akan dibuka sehingga akhir Syawal, mudah-mudahan segala usaha kita mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT sebagai tanda keimanan dan kasih sayang kepada Palestin,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook hari ini.

Sekurang-kurangnya 67 orang termasuk 14 kanak-kanak maut manakala 388 penduduk Pelestin cedera dalam serangan udara tentera Israel di Gaza yang bermula sejak Isnin lalu.

Dalam pada itu, Abdul Hadi mengutuk serangan berterusan rejim zionis dan menyifatkannya sebagai tindakan zalim dan wajib dikecam oleh seluruh rakyat serta pemimpin negara Islam yang cintakan bumi al-Aqsa.

Beliau turut mengajak setiap umat Islam untuk terus berdoa dan memberikan tekanan ke atas Israel dengan pelbagai cara dan teknologi terkini supaya kekejaman tersebut dihentikan sekali gus hak rakyat Palestin dikembalikan.

Di samping itu katanya, pemberian infak atau sumbangan bagi membantu perjuangan rakyat Palestin juga perlu diteruskan sebagai tanda pengorbanan dan kasih kepada Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin yang dimuliakan oleh Allah SWT.

“Saya mengikuti secara dekat perkembangan terkini yang berlaku di Palestin, sehingga ke saat ini rakyat dan pejuangnya terus teguh mempertahankan bumi suci itu tanpa rasa gerun dan takut kepada musuh Allah SWT, semangat jihad mereka yang tinggi menjadi obor kepada perjuangan pembebasan bumi Palestin,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya