Majlis akad nikah, resepsi perkahwinan di Johor ditangguh - Utusan Malaysia

Majlis akad nikah, resepsi perkahwinan di Johor ditangguh

MD ROFIKI SHAMSUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menangguhkan urusan majlis akad nikah dalam tempoh sekatan pergerakan penuh berkuatkuasa 1 Jun hingga 14 Jun ini 

Pengarahnya, Datuk Md. Rofiki Shamsuddin berkata, dalam pekeliling yang dikeluarkan oleh Bahagian Pentadbiran Undang-undang Syariah, turut ditangguhkan adalah kenduri kahwin serta kursus pra-perkahwinan Islam secara bersemuka.

Tambahnya, antara ditangguhkan termasuklah perkhidmatan kaunter bagi permohonan kebenaran berkahwin, pendaftaran cerai dan rujuk, permohonan pendaftaran pengesahan perkahwinan dan poligami, pengambilan dokumen serta kad perakuan nikah.

“Sebagai umat Islam yang berpegang teguh kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah, sepatutnya kita mengambil peranan yang sangat proaktif untuk mengekang penularan wabak Covid-19. Dalam tempoh pandemik ini, usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19 daripada tersebar hendaklah diutamakan berbanding perkara lain.

“Bagi yang telah dijadualkan melalui temu janji untuk melaksanakan urusan-urusan nikah, cerai dan rujuk di pejabat kadi daerah, penjadualan semula urusan tersebut akan dilaksanakan oleh pejabat kadi berkaitan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Md. Rofiki, pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga dalam tempoh ini dinasihatkan supaya bersabar dan memperbanyakkan ibadah puasa.

Bagaimanapun, katanya bagi perkhidmatan berkaitan nikah, cerai dan rujuk yang dilaksanakan secara atas talian menerusi Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) http://www.sppim.gov.my masih dilaksanakan.

Katanya, antara yang dibenarkan ialah permohonan Kebenaran Nikah (Benar Nikah Online), kursus pra perkahwinan Islam secara maya, aduan dan proses tentang proses kebenaran berkahwin serta perkhidmatan khidmat nasihat. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN