Majikan ditahan ugut, pukul pekerja - Utusan Malaysia

Majikan ditahan ugut, pukul pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan dipercayai memukul dan mengugut untuk menembak pemandu peribadinya ditahan polis di Kajang di sini, semalam.

Penahanan itu susulan laporan polis dibuat pekerja berusia 28 tahun itu selepas diugut majikannya ketika berada di rumah suspek di Country Heights dekat sini kira-kira pukul 1.22 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kejadian berlaku apabila mangsa dan suspek tiba di rumahnya selepas baru pulang dari Kuala Lumpur dan bertengkar.

Katanya, suspek ada mengeluarkan kata-kata kesat dan menendangnya di bahagian bahu sebelum menghalaunya keluar.

“Suspek turut merosakkan motosikal milik mangsa dan menyebabkannya terpaksa meminta bantuan orang ramai untuk melarikan diri sebelum datang ke balai polis untuk membuat laporan.

“Susulan itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan suspek di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang pada 4.50 petang semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Zaid, suspek direman selama dua hari bermula semalam hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323/506/427/341 Kanun Keseksaan.

Ujar beliau, siasatan dilakukan mengikut seksyen berkenaan kerana mendatangkan kecederaan, melakukan ugutan jenayah, melakukan perbuatan khianat serta melakukan halangan salah terhadap mangsa.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Mohamad Khir di talian 014-5307540 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi tiga minit 29 saat menunjukkan pemandu berkenaan merakam majikannya yang mengugut dan menendangnya di hadapan rumah ahli perniagaan terbabit tular dalam media sosial, hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN