Mahkamah arah hujahkan isu tanda tangan palsu - Utusan Malaysia

Mahkamah arah hujahkan isu tanda tangan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan pihak pembelaan yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan penyelewengan dana RM2.28 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk berhujah mengenai `tanda tangan palsu’ di akhir kes pendakwaan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengarahkan demikian ekoran saksi pendakwaan ke-10 yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd. Hazem Abd. Rahman bukanlah seorang pakar tulisan tangan.

Terdahulu, peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohammad meminta saksi berkenaan untuk mengenal pasti sama ada tandatangan pada surat kebenaran memindahkan dana milik 1MDB Global Investment Limited (1MDB GIL) milik bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir dan bekas pengarah eksekutif 1MDB, Terence Geh Choh Heng.

Azmi dan Choh Heng juga merupakan penandatangan sah dalam 1MDB GIL yang merupakan subsidiari 1MDB.

Peguam terbabit menimbulkan persoalan bahawa tandatangan pada surat kebenaran memindahkan dana ke beberapa entiti luar itu adalah `potong dan tampal’.

Pada ketika ini, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib bangkit dan membantah soalan tersebut kerana Mohd. Hazem bukanlah seorang saksi pakar.

Peguam terbabit bagaimanapun dilihat masih ingin meneruskan soal balasnya mengenai tandatangan tersebut namun `dihalang’ oleh Hakim Collin.

“Saksi bukanlah orang yang tepat untuk menjawab soalan tersebut, dia bukan pakar,”ujar hakim itu.

Hakim terbabit berkata demikian pada perbicaraan kes Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan yang didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.28 bilion di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Perbicaraan bersambung esok. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya