KOTA KINABALU : Sebanyak 13 jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM5,000 dirampas dalam satu serbuan Kampung Termenung, Tuaran dekat sini.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, dalam serbuan pada 9.50 malam itu, lima lelaki termasuk pemilik rumah berkenaan ditahan untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, serbuan dijalankan hasil risikan dan maklumat yang diterima pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, pasukan polis mendapati terdapat lima lelaki berada di ruang tamu dan dipercayai sedang menjalankan aktiviti jual beli mercun dan bunga api.
“Berdasarkan pemeriksaan, polis berjaya menemukan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang disimpan di dalam rumah berkenaan,” katanya semasa sidang media hari ini.
Dengan itu, lima lelaki tersebut ditahan dan semua rampasan membabitkan pelbagai jenis mercun dan bunga api itu dibawa balik ke IPD Tuaran untuk tindakan selanjutnya.
Pemeriksaan lanjut mendapati lima lelaki yang berusia 19 hingga 37 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua mereka akan direman sehingga 8 Mei untuk siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135 Akta Kastam 1967. – UTUSAN ONLINE