Lelaki warga Thailand curi hasil hutan dipenjara empat tahun - Utusan Malaysia

Lelaki warga Thailand curi hasil hutan dipenjara empat tahun

WARGA Thailand, Alik (dua dari kiri) dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar selepas prosiding kes mengambil hasil hutan di Gerik, Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Lelaki warga Thailand dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengambil hasil hutan kayu gaharu di Hutan Simpan Kekal Belum di Gerik, Mac lalu.

Tertuduh, Alik, 31, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Lelaki terbabit diperintahkan menjalani hukuman itu bermula daripada tarikh dia ditangkap.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua barang kes iaitu kayu gaharu dan lapan unit pahat dilucuthak kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengambil hasil hutan tanpa memiliki lesen, permit atau apa-apa kebenaran di Hutan Simpan Kekal Belum, Daerah Hulu Perak pada pukul 5.00 pagi, 13 Mac 2021.

Dia didakwa mengikut Subseksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mason Jari Barayan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Menerusi laporan akhbar pada 17 Mac lalu, seorang lelaki warga Thailand ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan memburu haiwan secara haram dalam operasi bersepadu di Taman Negeri Royal Belum di Gerik.

Serbuan oleh Renjer Perbadanan Taman Negeri Perak dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak itu dilakukan selepas mengesan sebuah kem haram di kawasan hutan simpan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN