BEAUFORT: Banjir yang melanda daerah ini meragut nyawa seorang lelaki dalam kejadian yang berlaku di Kampung Mantao hari ini.
Ini adalah korban pertama sejak daerah ini dilanda banjir Khamis lalu dan sehingga kini, 610 orang daripada 156 keluarga terjejas akibat banjir.
Lelaki berusia 21 tahun itu difahamkan tergelincir lalu terjatuh dalam banjir semasa membantu menolak perahu dinaiki keluarganya sebelum ditemukan lemas dalam kejadian pukul 10 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, lelaki yang dikenali sebagai Fairol Jisirun itu difahamkan sedang cuba menolak perahu yang dinaiki ahli keluarganya selepas selesai membantu mengemas barangan jualan di premis abangnya yang terjejas banjir.
“Selepas mangsa terjatuh, abangnya cuba membantunya namun tidak berjaya kerana abang mangsa juga tidak pandai berenang.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut dimaklumkan mengenai kejadian dan operasi mencari dan menyelamat segera dilakukan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, mayat mangsa ditemukan tidak jauh dari lokasi terakhir tergelincir dan dihantar ke Hospital Beaufort untuk tindakan selanjutnya.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).